Pemuda DAP (Dapsy) Wilayah Persekutuan menyertai desakan supaya parti itu memutuskan hubungan dengan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, berhubung isu Jalur Gemilang baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan Akmal yang berat sebelah, selektif dan bermotif politik dalam menangani isu itu bukan sahaja mencetuskan ketegangan, malah boleh menggugat keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional yang telah lama dibina.
“Disebabkan Akmal Saleh tidak pernah memohon maaf atas segala kesalahan yang merosakkan perpaduan negara, DAPSY WP KL menggesa DAP dan DAPSY Kebangsaan untuk memutuskan sebarang bentuk hubungan politik dan tidak bekerjasama dengan Akmal Saleh dalam segala perihal.
“Tindakan dan kenyataannya yang jelas bercanggah dengan prinsip keadilan dan perpaduan tidak wajar dikompromi oleh mana-mana pihak yang menjunjung kedaulatan undang-undang,”tegasnya dalam kenyataan.
Dapsy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi sayap parti terbaru membuat gesaan sedemikian selepas sayap-sayap parti itu di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Gesaan itu dibuat susulan himpunan anjuran Akmal terhadap seorang pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, pada Jumaat lalu, selepas individu berkenaan dirakam menggantung bendera negara secara terbalik.
Selepas kejadian itu tular di media sosial, pemilik kedai, Pang Chin Tian berkata ketika itu dia sedang mengukur panjang sebatang tiang besi sambil menggantung bendera, dan tidak sedar ia dalam keadaan terbalik.
Pang telah ditahan dan disiasat polis, manakala Akmal turut disiasat berhubung himpunan tersebut.
Dalam kenyataannya, DAPSY WP KL percaya bahawa sekiranya terdapat kesilapan atau kecuaian dalam mengibarkan Jalur Gemilang, kesilapan tersebut harus ditangani secara adil, berhemah dan profesional mengikut peruntukan undang-undang, tanpa mengheret emosi perkauman atau sentimen politik sempit.
“Pendekatan yang menyasarkan kumpulan tertentu sahaja, tetapi membisu apabila perkara serupa dilakukan oleh pihak lain, jelas menimbulkan persepsi bahawa tindakan tersebut adalah bermotifkan kepentingan politik semata-mata.
“Malaysia sebagai sebuah negara majmuk memerlukan pemimpin yang konsisten, adil dan berpandangan jauh – bukan yang memanipulasi isu sensitif untuk meraih sokongan politik jangka pendek,” katanya.