Ketika ketegangan hubungan di antara Umno dan DAP kesan tindakan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh, semakin memuncak, PAS menyeru kedua-dua pihak agar bertenang dan tidak menyeret pihak polis atau orang awam ke dalam pertikaian mereka.
Parti Urimai pula malah mencabar DAP agar memutuskan hubungan mereka dengan Umno dan bukan sekadar membuat bising tanpa meninggalkan sebarang kesan yang nyata.
Presiden Urimai, P Ramasamy, berkata dengan kedudukan kedua-dua parti yang bersama dalam kerajaan pusat dan negeri, isu tersebut sepatutnya diselesaikan secara dalaman saja tanpa melibatkan pihak lain termasuk polis.
Orang awam pula, katanya, dilibatkan dengan naratif yang tidak sihat serta tidak membina.
“Tambahan pula, isu ini hanya berpunca daripada tindakan seorang individu yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, yang kini sudah pun dalam siasatan polis.
“Malangnya, ia diperbesar-besarkan oleh tindakan balas kedua-dua pihak dengan motif dan alasan masing-masing.
“Untuk rekod, PAS secara tegas telah menasihatkan pemudanya supaya tidak terlibat dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramasamy yang juga bekas pemimpin kanan DAP menambah bekas partinya itu mengamalkan hipokrit apabila membenarkan pemudanya mendesak agar hubungan dengan Akmal diputuskan, tetapi masih mengekalkan kerjasama dengan Umno secara keseluruhan.

Katanya, DAP memang sedar bahawa mereka tidak boleh mengambil langkah tersebut tanpa melibatkan Umno secara keseluruhan.
“Kekecohan yang ditimbulkan Akmal berhubung isu bendera kebangsaan tidak lebih daripada usaha meningkatkan populariti peribadinya.
“Namun, kepimpinan tertinggi Umno seolah-olah suka kepada perhatian yang dicetuskannya, bukan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Boleh buat rakyat hanyut
Ramasamy yang juga bekas Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata Akmal mampu meningkatkan ketegangan adalah kesan daripada kegagalan Umno mengambil tindakan sepatutnya.
“Dan bagaimana pula dengan DAP? Tanpa keberanian politik untuk berdepan Umno secara keseluruhan, mereka hanya menyasarkan pemudanya. Sikap berpilih ini mendedahkan kelemahan DAP.
“Ada pihak dalam DAP berhujah bahawa memutuskan hubungan dengan Umno boleh menggugat kerajaan perpaduan pimpinan PH.
“Namun, parti itu tidak boleh bersikap ‘nak makan kek dan simpan kek sekali gus’,” katanya berkias.
Ramasamy berkata demikian sebagai mengulas arahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang menggesa pemudanya membuat 11 laporan polis terhadap Akmal.
Sementara itu PAS pula hari ini menegaskan langkah yang diambil itu adalah berlebihan dan berisiko memburukkan lagi keadaan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata kedua-dua pihak perlu menghormati siasatan yang sedang dijalankan polis dan mengelakkan tekanan tambahan.
“PAS percaya kedua-dua pihak hendaklah menghormati dan menyokong proses rasmi siasatan polis yang sedang berjalan tanpa menambah tekanan tidak perlu.
“Kegagalan berbuat demikian oleh dua parti kerajaan ini hanya akan membawa kita hanyut malah boleh menjerumus kita kepada masalah berisiko yang lebih besar.
“Tindakan tidak berhemah dan berlebih-lebihan di satu pihak hanya akan mengundang respons yang serupa – atau lebih buruk – daripada pihak yang satu lagi,” katanya.