Malaysia Oversight

Siasatan lengkap, bantu keputusan tepat dalam inkues kematian

By Utusan in August 17, 2025 – Reading time 4 minute
Siasatan lengkap, bantu keputusan tepat dalam inkues kematian


 Bahagian 2

Tujuan inkues adalah untuk menjawab persoalan seperti siapakah si mati? Bagaimanakah si mati menemui ajalnya? Bilakah si mati menemui ajal? Apakah punca kematian si mati? Dan adakah kematian si mati disebabkan oleh perbuatan atau kecuaian mana-mana pihak?

Majistret yang menjalankan siasatan ini dipanggil koroner. Koroner yang mengendalikan siasatan kematian hendaklah membuat dapatan mengenai semua perkara di atas termasuk mengetahui mana-mana orang, yang melakukan perbuatan atau melakukan peninggalan yang menyalahi undang- undang yang menyebabkan kematian.

Pada akhir siasatan kematian, koroner atau majistret mesti menyampaikan verdict berdasarkan mana-mana satu yang berikut:
 mati yang tidak dapat ditentukan cara kematian (open verdict);
 mati akibat kemalangan (misadventure);
 mati akibat penyakit (natural death);
 mati akibat perbuatan orang lain (homicide);
 mati akibat perbuatan diri sendiri (suicide).
Tidak semua kematian dinyatakan sebelum ini berakhir dengan inkues.

 Kewajipan majistret apabila laporan diterima di bawah Kanun Acara Jenayah
Jika majistret berpuas hati tentang sebab kematian tanpa mengadakan suatu siasatan di bawah bab ini, dia hendaklah melaporkan sebab kematian itu kepada pendakwa raya sebagaimana yang ditentukan sehingga dia berpuas hati beserta dengan sebab mengapa dia berpuas hati dan hendaklah pada masa sama menghantar semua laporan dan dokumen yang ada dalam milikannya berkaitan dengan perkara itu kepada pendakwa raya.

Dalam segala hal lain, majistret itu hendaklah terus mengadakan suatu siasatan di bawah bab ini secepat yang boleh.

Oleh itu, adalah penting siasatan terperinci dan telus dibuat supaya pihak pihak seperti mahkamah atau pendakwa raya boleh membuat keputusan yang betul sama ada untuk mengadakan inkues terhadap kematian seseorang sebagaimana di bawah Seksyen 329(1) Kanun Acara Jenayah.

Prosiding inkues kematian pula berbentuk penyiasatan (inquisitorial), iaitu majistret atau hakim, yang bertindak sebagai koroner, perlu memainkan peranan aktif dalam pengendalian prosiding inkues.

Pihak lain, seperti pendakwa raya dan peguam hanya membantu koroner.

Tindakan undang undang yang boleh diambil sekiranya berlaku kekurangan dan kecacatan dalam siasatan adalah:
 Semakan kehakiman
 Tuntutan sivil
 Sekiranya tiada ketelusan di dalam siasatan maka tindakan guaman boleh diambil.

Antara contoh yang dapat dilihat adalah kes Kematian Kugan Ananthan( N Indra a/p Nallathamby (Administrix of the estate and dependent of Kugan a/l Ananthan, Deceased) v. Datuk Seri Khalid  Abu Bakar & ors [2013] 6 CLJ 272 ) di mana laporan bedah siasat pertama dan laporan bedah siasat kedua mempunyai perbezaan berkaitan sebab kematian. Maka satu tindakan guaman telah diambil terhadap Ketua Polis Negara.

Proses penyiasatan dan pengumpulan bukti adalah aspek yang sangat penting dan perlu diberikan penekanan yang sewajarnya.

Kelemahan dalam proses penyiasatan dan pengumpulan bukti boleh menjejaskan proses mengenal pasti punca sebenar kematian, sekali gus menyukarkan mahkamah koroner dalam mendapatkan dapatan yang tepat dalam pengendalian sesuatu kes.

Perkara ini dapat dilihat dalam kes Pihak Pendakwa lawan Shanmugam (2002). Mahkamah koroner dalam kes ini menjalankan inkues kematian bagi menentukan punca kematian enam individu yang dikatakan terlibat dalam kejadian tembak-menembak dengan polis.

Dalam kes tersebut, keterangan menunjukkan pihak polis telah melepaskan tembakan ke arah sebuah van menyebabkan enam orang yang berada di dalam van tersebut meninggal dunia.

Pada akhir prosiding, mahkamah koroner memutuskan tiada unsur jenayah berhubung kematian individu tersebut atas alasan pihak polis menjelaskan tembakan ke arah van adalah munasabah bagi mempertahankan diri.

Kes itu dirujuk kepada mahkamah tinggi untuk semakan. Mahkamah tinggi telah mengubah keputusan koroner dan memutuskan ‘nahas’ sebagai punca kematian.

Berdasarkan keterangan dikemukakan, mahkamah tinggi mendapati bahawa tembakan hanya dilepaskan dari luar van dan tiada kelongsong peluru kosong ditemui di dalam van.

Tiada sebarang peluru dijumpai pada kereta peronda polis yang mengepung van terbabit. Bersandarkan fakta itu, mahkamah merumuskan tiada tembakan dilepaskan daripada individu yang berada di dalam van.

Bagaimanapun, mahkamah tinggi memutuskan bahawa tidak dapat dipastikan sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya berhubung kematian si mati memandangkan keterangan dikemukakan tidak mencukupi bagi membantu mahkamah membuat keputusan dalam isu tersebut.

Kes ini menjelaskan bahawa proses siasatan yang tidak lengkap akan menjejaskan proses pengemukaan bukti kepada mahkamah, sekali gus menyukarkan mahkamah membuat keputusan tepat dan menyeluruh dalam pengendalian inkues kematian.

Kesemua pihak bermula dari pegawai penyiasat, pendakwa raya dan koroner perlu bekerjasama memastikan segala fakta dan keterangan adalah dikumpul serta disiasat sebaiknya untuk mendapatkan satu keputusan atau verdik yang adil dan saksama bagi semua pihak.

Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah seorang pengamal undang-undang.





Source link