Malaysia Oversight

Hilal Azman tidur di hentian bas, kerja cuci pinggan

By Utusan in August 17, 2025 – Reading time 4 minute
Hilal Azman tidur di hentian bas, kerja cuci pinggan


“KAMU dengar lagu Kuala Lumpur Oh! Kuala Lumpur nyanyian Malek Ridzuan. Liriknya tepat mengisahkan pengalaman awal saya berpindah ke ibu kota pada awal 80-an dulu.”

Perkara itu dimaklumkan seniman, Datuk Hilal Azman saat saya meminta beliau menceritakan pengalaman susah senang beliau merantau ke Kuala Lumpur satu masa dahulu.

Masih segar dalam ingatan beliau pengalaman tidur di hentian bas seperti gelandangan disebabkan ketiadaan wang untuk menyewa bilik pada ketika itu. Katanya, itulah pengalaman yang ‘memanusiakan’ diri. Disebabkan hidup susah payah dahulu, hari ini Hilal menjadi anak seni berjiwa kental.

“Saya bukan anak orang senang. Tetapi tetap mahu berpindah ke Kuala Lumpur walaupun dengan RM2 sebagai bekalan.

“Semua itu demi mencari peluang lebih baik di ibu kota. Bukan mahu menjadi pelakon pun ketika itu.

“Saya tidak ada tempat tinggal. Hentian bas Klang itulah yang menjadi saksi kedaifan saya. Saya tidur di sana kerana tiada wang.“Dan saya bekerja cuci pinggan di sebuah gerai tepi jalan berdekatan stesen bas berkenaan. Saya tidak dibayar gaji, cuma diberi makan oleh pemilik gerai.

“Kemudian apabila saya ditawarkan bekerja dalam bidang rekaan grafik, barulah hidup saya sedikit selesa kerana menerima gaji sebanyak RM200. Nilai itu ketika itu cukup besar buat saya,” katanya.

Anak kepada pasangan Abdullah Omar dan Latifah Abdul Rani ini sejak usia kecil menyimpan rasa cinta mendalam terhadap dunia seni.

Menerima pendidikan di Sekolah Kebangsaan Toh Johan antara tahun 1967 hingga 1972 sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Burhanuddin, Taiping (1973 hingga 1977) sampailah melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA, Hilal sentiasa mendekatkan diri dengan bidang yang dicintainya itu.

“Mungkin saya dilahirkan sebagai manusia yang mencintai bidang seni. Saya suka melukis, menulis, bermain muzik, reka cipta dan sebagainya.

“Saya juga suka berlakon, bahkan mempunyai minat sejak di bangku sekolah lagi. Saya inilah murid pertama yang akan menawarkan diri jadi pelakon apabila cikgu membaca buku cerita ketika mengajar.

“Dan bermula di sekolah rendah, sampailah ke universiti, saya tidak pernah mengasingkan diri daripada aktiviti kesenian. Pelbagai cabang seni saya cuba termasuklah bidang fotografi. Jadi, memanglah saya ini dilahirkan untuk menjadi insan seni,” katanya.

170825 KHABAR LEGENDA HILAL AZMAN 3

DI KIRI JALAN, DI KANAN PUN JALAN

Inilah pementasan sulung Hilal Azman yang diarahkan Megat Saiful Bahari. Pelakon kelahiran Taiping, Perak ini yang ketika itu masih belasan tahun berjaya meraih anugerah Pelakon Teater Sekolah Terbaik hasil persembahan cemerlang dalam teater yang dipertandingkan antara sekolah itu.

“Kemenangan itu mungkin kerana minat dan kecintaan saya kepada dunia seni. Kalau kita cintakan sesuatu, kita akan sedaya merebutnya bukan?

“Kebetulan saya berlakon bersungguh-sungguh dan hasilnya saya menerima anugerah tersebut,” kongsinya.

Kata Hilal, kemenangan itu jugalah yang membuka jalan kepada lakonan drama televisyen pertama beliau bersama Ahmad Marbawi sekitar awal 90-an.

170825 KHABAR LEGENDA HILAL AZMAN 7

SEMBILAN GURU

“Jadilah orang yang berotak.”

Itu pesanan aktivis perfileman Prof. Dr. Asiah Sarji kepada Hilal yang dianggap beliau sebagai guru dalam kehidupan seninya.

Hilal turut menyebut kepada saya lapan figura penting yang sepanjang pembabitannya dalam dunia drama perfileman, banyak memberi bimbingan. Antaranya Megat Saiful Bahri, Matari Rahman, Marzuki Ali, Prof. Dr. Mohammad Hatta Azad Khan, Sujiah Salleh, Kamal Ishak, Ahmad Yatim dan Mustaffa Noor.

“Inilah guru-guru yang pernah berpesan kepada saya supaya menjadi orang, bukan ‘pelakon’.

“Ahmad Yatim pernah bertanya, adakah saya ini betul-betul berminat dan benar-benar mahu jadi pelakon? Katanya kalau ya, jangan ‘berlakon’.“Puas saya dalami pesanan yang ditinggalkan. Lama kelamaan barulah saya faham, yang arwah maksudkan adalah jadilah karakter itu, bukan setakat melakonkannya.

“Saya pegang pesanan tersebut. Kerana itu, kalau saya berlakon, saya tidak sekadar melakonkan, tetapi saya menjadi watak yang dilakonkan.“Tapi kebolehan itu tidak terjadi dengan sendirinya. Saya kena belajar, pergi sekolah dan mencari ilmu,” katanya.

170825 KHABAR LEGENDA HILAL AZMAN 6

SERBA BOLEH

Hilal berkongsi pengalamannya memikul lima tugas dalam filem Kembar Siam dan Awang Spanar yang diterbitkan pada 1989. Katanya, beliau sendiri sehingga ke hari ini masih tertanya-tanya bagaimana dirinya mampu menggalas tugas yang begitu banyak pada ketika itu.

“Saya jadi penolong pengarah, pengurus produksi, pengarah seni, jaga konti dan berlakon.

“Bila difikirkan semula hari ini, saya juga tertanya-tanya, macam mana saya lakukannya waktu itu? Buat lima kerja tanpa masalah.

“Mungkin disebabkan minat saya dapat menggalas kesemua tugas itu.

“Tapi kalau hari ini diminta buat lima tugas itu dalam satu filem saya akan katakan, engkau buatlah sendiri. Bila kita buat, barulah kita tahu susahnya kerja-kerja itu,” ujarnya.

170825 KHABAR LEGENDA HILAL AZMAN 2

MEMORI
Hilal mengakui watak Dr. Hassan dalam filem ini merupakan karakter paling berat dan mencabar sepanjang karier lakonannya. Kata beliau, pelbagai kerisauan membelenggunya termasuk kekhuatiran jika lakonan yang dipersembahkan itu tidak memberi impak.

“Filem ini berdasarkan kisah benar yang diambil daripada cerita hidup pengarah.

“Saya ini bukan penghidap alzheimer dan banyak perkara yang saya risaukan apabila saya menerima tawaran melakonkan watak ini,” katanya.Kata Hilal lagi, beliau menjadikan pengalaman orang sekeliling dan kajian terhadap penyakit alzheimer sebagai rujukan dan sebahagian persiapan untuk menghidupkan watak Dr. Hassan.

“Pengarah beri saya rujuk tentang bapanya yang menghidap penyakit tersebut menerusi beberapa video. Dari sumber itu saya tiru karakter dan pembawakan diri bapanya.

“Kebetulan juga ibu mentua dan makcik saya juga menghidap penyakit sama. Oleh itu, saya jadikan mereka rujukan selain melakukan sedikit bacaan mengenai penyakit tersebut.

“Alhamdulillah, pengarah maklumkan dia nampak bapanya menerusi lakonan saya,” katanya.





Source link