Malaysia Oversight

Rukun Negara sebuah doktrin negara

By MkiniBM in August 17, 2025 – Reading time 5 minute
Rukun Negara sebuah doktrin negara


ULASAN | Lebih lima dekad lalu, ketika Malaysia yang baru 12 tahun menghirup udara kemerdekaan dan bertatih untuk bingkas membina sebuah negara bangsa, secara tiba-tiba berada di persimpangan getir.

Di kampung dan ceruk desa, majoriti orang Melayu dihimpit kemiskinan dan terpinggir dari arus pembangunan rancak di kota-kota. Di lorong-lorong perniagaan dan sekolah-sekolah elit, orang Cina khususnya menikmati kemajuan ekonomi dan pendidikan namun mereka dihimpit rasa didiskriminasi dari segi politik dan sosial.

Jurang ekonomi dan sosial itu mudah mencetuskan retorika perkauman yang menjadi sumbu kepada nyalaan api. Keadaannya rapuh seperti lahar yang begitu mudah meledak.

Suasana panas yang meredam susulan Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969 menjadi detik getir awal sebelum tercetus peristiwa hitam yang mengoyakkan kepercayaan antara kaum.

Penguasaan golongan bukan Melayu di bandar-bandar menyaksikan parti pembangkang ketika itu meraih kemenangan besar di beberapa negeri di Semenanjung hingga mencetuskan suasana tegang.

Anggota parti pembangkang menganjurkan aksi perarakan kemenangan dengan disulami slogan ejekan sebelum itu bertukar menjadi provokasi.

Provokasi itu akhirnya bertukar menjadi rusuhan berdarah. Tanggal 13 Mei 1969 masih tertancap kukuh di minda rakyat Malaysia sehingga kini. Pada hari Selasa itu, Kuala Lumpur bukan sahaja terbakar malah dijilat api kemarahan, prasangka dan kehilangan rasa hormat antara kaum.

Catatan rasmi merekodkan tragedi rusuhan itu meragut sejumlah 196 nyawa.

Majlis Gerakan Negara (Mageran)

Sebagai tindak balas kepada huru-hara itu, mengisytiharkan darurat hingga membuatkan Parlimen digantung pada 16 Mei 1969. Sistem demokrasi sementara dibekukan.

Kuasa eksekutif diserahkan kepada sebuah badan baharu iaitu Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein.

2450a77c5218892d4291e98c83c510ad

Mageran bukan hanya memulihkan negara dari aspek keselamatan malah menilai akar sebenar ketegangan kaum.

Kajian dan kertas pertimbangan mendapati bahawa jurang ekonomi, prasangka sejarah, kegagalan dasar pendidikan dan bahasa, serta kegagalan membina identiti nasional telah menyumbang kepada peristiwa tersebut.

Maka, muncul satu keperluan mendesak agar Malaysia memiliki satu doktrin nasional iaitu satu set nilai dan prinsip bersama yang boleh dijadikan tonggak perpaduan, teras kebangsaan dan falsafah hidup bersama.

Mapen dan Jawatankuasa Rukun Negara

Pada Oktober 1969, Majlis Perundingan Negara (Mapen) ditubuhkan di bawah Mageran. Majlis ini bertanggungjawab sebagai badan yang membincangkan dan mencari jalan penyelesaian atas isu berkaitan dengan perpaduan nasional.

Ia menghimpunkan lebih 60 tokoh dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang termasuk pemimpin politik, cendekiawan, agamawan, wartawan, tokoh buruh dan wanita. Tun Razak, Tun Dr Ismail, Dato’ Harun antara tokoh yang terlibat dalam Majlis ini.

Pada 4 Mac 1970, Mapen yang telah bermesyuarat kali kedua sebulat suara bersetuju supaya secara rasmi Jawatankuasa Rukun Negara ditubuhkan, dengan mandat untuk menggubal satu falsafah nasional yang mengandungi prinsip-prinsip bersama sebagai asas negara bangsa.

Tun Tan Siew Sin yang juga Presiden MCA ketika itu dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

856559e81a253dcc8942599bf1b084ce

Mesyuarat demi mesyuarat berlangsung dan draf demi draf diperhalusi. Kata-kata dipilih dengan teliti dan setiap istilah ditimbang dari segi perundangan, budaya dan sensitiviti agama.

Akhirnya, pada 31 Ogos 1970, sempena ulang tahun kemerdekaan ke-13, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Sultan Zainal Abidin mengisytiharkan dokumen rasmi sebagai satu “Pengisytiharan Diraja”. Baginda bertitah “ Beta dengan nasihat dan kerjasama Majlis Perundingan Negara telah menggubal beberapa prinsip untuk menjadi panduan bagi kita dalam segala urusan kita dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Pada hari yang mulia ini Beta dengan sukacitanya mengistiharkan prinsip-prinsip itu sebagai Rukun Negara bagi sekalian”.

Pada saat itu bermulalah ikrar Rukun Negara.

c778e79073ef37af96deb6dfcaf706ae

Falsafah Rukun Negara:

1. Kepercayaan kepada Tuhan: Prinsip ini mengiktiraf peranan spiritual sebagai asas nilai sejagat dalam masyarakat majmuk. Ia mendidik rakyat agar lebih beradab dan menjauhi ekstremisme.

2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara: Menyeru rakyat mendahulukan kepentingan negara serta menghormati institusi Raja sebagai payung perpaduan.

3. Keluhuran Perlembagaan: Mengangkat Perlembagaan Persekutuan sebagai sumber utama undang-undang dan penyelesaian konflik.

4. Kedaulatan Undang-undang: Menjamin keadilan untuk semua tanpa pilih kasih, sekaligus menjamin kepercayaan rakyat terhadap sistem.

5. Kesopanan dan Kesusilaan: Mengangkat nilai adab, toleransi dan hormat sebagai asas hubungan antara kaum.

Strategi Propaganda Kebangsaan

Pelbagai strategi propaganda diperkenalkan secara sah dan sistematik. Propaganda, walaupun sering dianggap negatif, dalam konteks ini, ia digunakan untuk membina imej nasional dengan cara yang terancang.

Jacques Ellul dalam bukunya “Propaganda: The Formation of Men’s Attitudes” memperkenalkan istilah propaganda integratif.

Ia adalah bentuk propaganda yang bertujuan untuk menyatukan masyarakat, membentuk identiti kolektif dan menanam nilai moral dan sosial yang konsisten dengan sistem pemerintahan sedia ada.

Ia bukan untuk menakut-nakutkan rakyat sebaliknya memastikan kestabilan dan pematuhan ideologi secara sukarela.

Propaganda dilakukan secara berterusan, halus dan diserap masuk melalui pendidikan, budaya, media dan norma sosial. Ia juga bertujuan agar rakyat patuh dan percaya serta menyokong sistem tanpa paksaan.

Langkah itu dapat dilihat dengan Ikrar Rukun Negara dibuat berulang-ulang bermula dari sekolah di setiap perhimpunan. Pembacaan harian dan penyebaran visual menjadikan prinsip-prinsipnya tertanam dalam ingatan. Naratif propaganda dengan teknik Transfer mengaitkan Rukun Negara dengan Titah DiRaja.

Penglibatan tokoh-tokoh masyarakat yang menyokong ikrar Rukun Negara menunjukkan teknik ‘testimonial’ digunakan. Sokongan meluas rakyat dari seluruh negara mewujudkan persepsi ‘bandwagon’ secara berkesan.

Kempen propaganda menggunakan lagu masih digunakan dan pada sambutan hari kemerdekaan ke-13 tersebut, Lagu Muhibah menjadi tema. Sambutan Hari Kemerdekaan kemudian ditukar kepada Hari Kebangsaan.

b6f6aa7b833766167c54b29e8cc26370

Rukun Negara dicabar lagi?

Bagaimanapun setelah lebih 50 tahun Rukun Negara menjadi Doktrin Negara, Malaysia masih lagi dibelenggu isu perkauman. Insiden Kampung Medan (2001), Perarakan Kepala Lembu (2009), Polemik Kalimah Allah dan siri serangan balai polis di Lahad Datu (2013) dan Ulu Tiram (2024) menunjukkan isu perkauman dan budaya ekstrim jika dibiarkan akan menjadi parah.

Walaupun ia berfungsi sebagai tonggak perpaduan dan doktrin kebangsaan, ia bukan jaminan mutlak terhadap konflik sosial, perkauman atau keagamaan.

Perkara ini kerana Rukun Negara memerlukan penghayatan aktif dan pelaksanaan menyeluruh dan bukan sekadar hafalan. Ada petanda Rukun Negara belum sepenuhnya meresap ke dalam jiwa dasar, pentadbiran, dan wacana rakyat. Doktrin ini memerlukan “penyegaran naratif” agar terus relevan dalam era digital, pasca-kebenaran dan populisme.

Melawan budaya taksub

Peristiwa 13 Mei yang membawa kepada keperluan kewujudan Rukun Negara berpunca dari suasana politik tidak stabil dan jurang ekonomi kaum yang kian melebar. Punca tersebut masih lagi kekal wujud sehingga hari ini.

Tambahan pula teknologi media sosial menerusi Big Data dan algoritma, perilaku secara online akan mengukuhkan kepercayaan sasaran terhadap sesuatu perkara yang mereka minati sahaja.

Sekiranya tiada usaha awal mendekatkan masyarakat dengan kecintaan kepada negara, fenomena ini bakal melebarkan jurang kecintaan rakyat dan membina budaya taksub kepada individu atau organisasi selain dari negara.

Ditambah lagi dengan teknologi automasi dan Bot, ilusi berkaitan sesuatu bingkai naratif boleh dipupuk. Ahli politik, agamawan, pertubuhan bukan , artis dan pempengaruh berpotensi menjadi ‘kiblat’ taksub. Keadaan boleh menjadi semakin serius apabila ia menjadi ancaman, menggangap kelompok mereka sahaja yang betul dan akhirnya melanggar prinsip Rukun Negara.

Balai polis pun mereka sanggup serang.

Rukun Negara adalah doktrin negara terhasil dari luka dan pencarian mencari remedi. Ia adalah penawar kepada perpecahan, pengikat kepada kepelbagaian dan pedoman dalam dunia yang semakin bising dengan ideologi asing.

Jika kita lupa falsafah di sebalik setiap prinsip ini, maka masyarakat Malaysia akan kehilangan arah. Ia bukan kerana faktor ancaman musuh dari luar sebaliknya kerana kita sendiri sudah membuang kompas doktrin kebangsaan kita.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Budiman juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link