PERAK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan kejayaan transformasi industri tenusu negara menerusi pembukaan Kompleks Tenusu Farm Fresh di Perak sempena Karnival Usahawan Tenusu Madani.
Kompleks moden itu menjadi pencapaian besar sektor pertanian kerana bukan sahaja meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan, malah memberi manfaat kepada ekonomi setempat.
Projek ini diterajui Farm Fresh Berhad dengan fasilitasi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melalui program pembangunan teknologi dan bakat di Perak.

Anwar berkata, kemajuan dicapai Farm Fresh yang kini mampu bersaing di peringkat serantau itu disifatkan sebagai perkara yang membanggakan.
Katanya, pencapaian syarikat itu membuktikan pertanian moden dengan teknologi dan pengurusan baik mampu melonjakkan industri tenusu tempatan ke tahap lebih tinggi.
“Dulu ada syarikat besar luar negara yang tidak percaya Malaysia boleh hasilkan produk tenusu berkualiti. Hari ini syarikat tempatan (Farm Fresh) bukan lagi syarikat kecil, malah sudah menembusi pasaran serantau termasuk Kemboja.
“Kita sentiasa menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara termasuk industri tenusu tempatan,” katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan Tenusu Madani di Farm Fresh Perak.
Kompleks berkenaan kini antara fasiliti tenusu paling moden di Asia Tenggara dengan kapasiti 33,000 liter susu segar sehari, merangkumi produk susu pastur, aiskrim dan mentega.
Kini lebih 50 peratus pengeluaran susu segar negara datang daripada ladang Farm Fresh, sekali gus mengurangkan kebergantungan import dan mengukuhkan keterjaminan makanan negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, karnival berkenaan menjadi platform penting bagi memperkasakan usahawan tenusu tempatan.
Katanya, usaha memperkenalkan teknologi baharu dan amalan pertanian moden mampu meningkatkan produktiviti sekali gus membuka peluang pasaran lebih luas kepada penternak.
“Melalui karnival ini, kita bukan sahaja memperkenalkan produk tenusu berkualiti, tetapi juga menggalakkan penggunaan teknologi baharu yang dapat membantu penternak meningkatkan hasil.
“Industri ini bukan sekadar penghasilan susu, malah menyumbang kepada ekosistem ekonomi lebih luas termasuk pekerjaan, eksport dan pembangunan kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif NCER, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, kerjasama kerajaan dan syarikat swasta terbukti mampu melahirkan projek berimpak tinggi.
Katanya, pendekatan itu seiring agenda kecerdasan buatan (AI) negara serta visi Kerajaan Madani dalam menjadikan Malaysia hab agro-teknologi dan pertanian moden di rantau.
“Inisiatif seperti ini membuktikan kolaborasi boleh memberi impak besar kepada ekonomi rakyat.
“Kejayaan Farm Fresh contoh terbaik syarikat tempatan bersaing di peringkat global dengan menyepadukan teknologi terkini termasuk AI,” katanya. – UTUSAN