KUALA LUMPUR : Sebuah buku antologi puisi berjudul Makan Suap bertemakan antirasuah dan penyelewengan karya penyair tempatan termasuk Sasterawan Negara terbitan Persatuan Pemuisi Malaysia (PEMUISI) dilancar malam tadi oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, seramai 137 orang pemuisi baharu dan mapan termasuk Sasterawan Negara (SN) bersatu hati menyumbang karya untuk dimuatkan dalam antologi buku tersebut yang diterbitkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“ Bait-bait puisi yang indah dan bermakna yang terdapat dalam buku ini berkisar tentang persoalan anti rasuah dan penyelewengan, sebagai sumbangan kami golongan pemuisi membantu menyemarakkan kesedaran dan kempen Kerajaan Malaysia Madani membasmi rasuah dan penyelewengan.
“ Memandangkan puisi-puisi ini amat bermakna, maka adalah dicadangkan semua pihak memilikinya untuk dibaca dan dihayati, “ ujarnya.
Yang turut hadir beberapa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan; Penasihat PEMUISI, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan , SN Datuk Dr. Rahman Shaari dan SN Datuk Dr.Zurinah Hassan serta Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari.
Beliau berkata, PEMUISI menapak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sastera Seni Budaya Warisan Bangsa pada 2019 bertujuan menyemarakkan puisi dalam kalangan masyarakat, sekali gus mengangkat martabat bahasa Melayu hingga ke peringkat global.
Katanya, penerbitan buku puisi adalah antara kegiatan utama pertubuhan tersebut yang sudah menerbitkan lebih 30 buah buku puisi dan antologi karya ahli selain menerbitkan majalah jurnal PEMUISI yang sudah pun memasuki bilangan ke-67 keluaran
Sementara itu Ayob Khan dalam ucapanya mengalu-alukan usaha tersebut sebagai satu usaha membantu penguat kuasa seperti PDRM menekan integriti, membanteras rasuah dan salah laku dalam urusan pentadbiran.
Anwar pula berkata rasuah diamalkan bagi mengelakkan individu mengelak daripada tindakan undang-undang dan mendapat habuan. –UTUSAN