Malaysia Oversight

‘Bangunkan pakej pelancongan kapal persiaran berkonsep ekologi marin’

By Utusan in August 16, 2025 – Reading time 2 minute
'Bangunkan pakej pelancongan kapal persiaran berkonsep ekologi marin'


GEORGE TOWN : Syarikat bersekutu milik MyAngkasa Holdings Sdn. Bhd. iaitu My Ancasa Travel bersetuju memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) strategik bersama Forest Island bagi membangunkan pakej pelancongan kapal persiaran berkonsepkan ekologi marin di Pulau Pinang.

Menerusi pemeteraian memorandum berkenaan, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memperkenalkan produk pelancongan berasaskan pelayaran serta ekopelancongan laut di sekitar perairan negeri ini dengan menekankan aspek kelestarian alam sekitar.

Selain itu, kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada pembangunan pelbagai aktiviti pelancongan baharu termasuk sukan air, pelayaran, program pendidikan alam sekitar, lawatan berpandu serta aktiviti marin mesra alam.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, inisiatif berkenaan bakal membawa dimensi baharu dalam industri pelancongan negara khususnya yang melibatkan gerakan koperasi.

“Kerjasama My Ancasa Travel dan Forest Island ini membuktikan bahawa sektor pelancongan dan kelestarian alam boleh bergerak seiring.

“Malah, projek ‘Eco-Marine Tourism’ ini akan turut memperkenalkan pengalaman eksklusif yang menyokong pemeliharaan biodiversiti laut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut di platform Forest Island di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Zainol dan Pengerusi Forest Eco Sdn. Bhd., Alvin Poh.

Menurut Abdul Fattah, projek itu bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa, malah, ia memberi peluang kepada koperasi untuk meneroka bidang pelancongan, maritim, pengurusan acara dan hospitaliti pada masa yang sama.

Beliau berkata, projek berimpak tinggi itu menelan belanja sekitar RM2 juta dengan sebahagian pembiayaan disokong oleh melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP), selain sumbangan daripada Angkasa dan koperasi yang terlibat.

“Bagi projek ini, sebanyak dua buah kapal persiaran iaitu sebuah kapal katamaran dan sebuah lagi kapal pelayaran digunakan untuk membawa pengunjung berlayar di sekitar perairan negeri ini,” katanya yang menjangkakan pulangan keuntungan iaitu antara lapan hingga 10 peratus mampu dicapai untuk projek tersebut dalam masa tiga tahun.

Tambah Abdul Fattah, kesan limpahan ekonomi susulan pelaksanaan projek terbabit juga dijangka dirasai oleh komuniti pesisir melalui perkhidmatan sokongan seperti bot pelancong, makanan dan minuman, kraftangan serta pemandu pelancong tempatan.-UTUSAN

 





Source link