JERANTUT: Semua pengerusi, ahli jawatankuasa pembangunan keselamatan Kampung (JPKK), ketua kampung dan penduduk diminta memasang Jalur Gemilang di premis kawasan masing-masing sebagai memperingati sejarah kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan Ke-68 tahun ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pemasangan bendera Malaysia perlu dilakukan di premis seperti balai raya, masjid, dewan, balai raya, perpustakaan desa, jambatan dan semua kemudahan awam di kampung termasuk kediaman penduduk.
“Kibaran Jalur Gemilang ini juga melibatkan pengisian acara kemasyarakatan di kampung dan taman perumahan termasuk nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri masing-masing dan lagu Jalur Gemilang sebagai simbol nilai patriotik dan kemegahan (sebagai) rakyat negara ini.
“Bendera Malaysia perlu dikibarkan di semua tempat seluruh negara sebagai penghayatan semangat kemerdekaan selain mendidik generasi muda terutamanya pelajar mengetahui lambang serta sejarah negara,” katanya pada majlis Program Kampung Angkat Madani di Kampung Batu Balak, Kuala Tembeling di sini hari ini.
Terdahulu, Shamsul Azri bersama tetamu dan penduduk turut menyanyikan lagu Negaraku, lagu Negeri Pahang dan Jalur Gemilang semasa pelancaran program tersebut yang turut diwarnai kemeriahan kibaran bendera Malaysia.
Beliau berkata, semasa menghadiri majlis di tempat lain, beliau sering mengingatkan pemimpin peringkat kampung dan penduduk supaya memasang Jalur Gemilang di premis kawasan kampung dan kediaman masing-masing sempena sambutan itu pada bulan Ogos.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM2.5 juta bagi mengubah jurang kampung luar bandar Jerantut dengan melengkapkan kemudahan asas menerusi Program Kampung Angkat Madani di Kampung Batu Balak, Kuala Tembeling di sini.
Menurutnya, program tersebut antara 43 buah kampung yang dipilih kerajaan melibatkan peruntukan keseluruhan RM107 juta di bawah selenggaraan projek oleh setiap kementerian atau agensi di seluruh negara sejak 2024.
“Pelaksanaan program di Kampung Batu Balak terletak di luar bandar daerah ini mengambil kira masih belum lengkap dengan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, jalan raya, jambatan dan masjid sebelum ini serta jurang pendapatan penduduk berbanding di tempat lain.
“Kerajaan prihatin untuk menyediakan kemudahan apabila saya pertama kali meninjau keadaan pembangunan di sini pada 24 Februari 2024 dengan menaiki bot penambang menyeberangi Sungai Tembeling/Sungai Jelai untuk tiba ke kampung ini,” katanya. – UTUSAN