Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh berkata dia sedia disiasat di bawah Akta Hasutan susulan himpunan protes berkaitan Jalur Gemilang baru-baru ini, sambil menegaskan dia tidak akan berkompromi dalam mempertahankan bendera negara.
Bercakap selepas selesai disoal siasat berhubung dua laporan polis terhadapnya awal pagi ini, Akmal berkata dia tetap dengan pendiriannya dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Kalau inilah harga yang perlu saya bayar untuk mempertahankan maruah negara, saya tidak akan berundur dan saya akan beri kerjasama sepenuhnya.
Saya harap rakyat sedar mereka yang melakukan kesalahan dianggap sebagai wira, tetapi apabila kita cuba betulkan keadaan, kita pula dilayan sebagai pesalah,” katanya kepada pemberita.
Bernama melaporkan Akmal selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur pada jam 1.25 pagi tadi.

Adun Merlimau itu menegaskan himpunan tersebut diadakan secara aman dan bertujuan menyampaikan mesej jelas bahawa rakyat Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan yang menghina lambang negara.
“Kita bersurai dengan aman. Ini membuktikan kita bukan pembuli, apatah lagi datang untuk menimbulkan kekecohan,” katanya.
Pada Khamis lalu, lebih 100 peserta, termasuk anggota sayap pemuda Umno dan Bersatu, berhimpun di Kepala Batas, Pulau Pinang, bagi “mengajar” seorang pemilik kedai perkakasan yang dirakam menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.
Selepas kejadian itu tular di media sosial, pemilik kedai, Pang Chin Tian berkata dia sedang mengukur panjang tiang besi ketika menggantung bendera dan tidak menyedari ia dalam keadaan terbalik.
Pada himpunan, kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty turut hadir bagi mempertahankan Pang.
Akmal bagaimanapun menegaskan himpunan itu tidak melibatkan sebarang provokasi atau perbuatan merosakkan harta benda.
“Rakyat sendiri lihat kami datang secara aman – kami tidak terbalikkan kereta, kami tidak pijak bendera atau gambar pemimpin DAP.
“Saya tidak perlu takut kerana saya tahu saya buat perkara yang betul bagi menegakkan kedaulatan negara,” katanya lagi, sambil menambah aspirasinya itu turut dikongsi rakyat Malaysia yang lain, tanpa mengira kaum dan pandangan politik.
Mengulas mengenai sepanduk yang menyamakan himpunan itu dengan Zionisme, Akmal berkata di memilih untuk menganggap ia sebagai salah faham.
“Kalau nak marah, silakan. Kalau mahu buat laporan polis, buatlah. Tapi saya fikir mungkin orang itu tidak faham apa maksud Zionisme,” katanya lagi.
Akmal turut menolak dakwaan himpunan tersebut bermotif politik.