Malaysia Oversight

Air mata Zara: Janji rahmah dan tegaknya keadilan

By MkiniBM in August 16, 2025 – Reading time 3 minute
Air mata Zara: Janji rahmah dan tegaknya keadilan


Kematian tragis adik Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Papar, Sabah yang dikaitkan akibat “buli” merentap hati seluruh warga. Kepergiannya bukan sekadar berita duka tetapi tamparan keras kepada hati kita sebagai manusia. 

Namun di sebalik air mata dan amarah, kita harus kembali berpaut kepada dua tiang seri yang menjadi panduan ummah iaitu rahmah yang dibimbing syarak dan keadilan yang wajib ditegakkan tanpa kompromi.

Hanya dengan keseimbangan kedua-dua prinsip ini barulah  kita dapat memastikan bahawa kesedihan yang menyelubungi tragedi ini tidak menjadi sia-sia dan negara ini tetap utuh berdiri atas landasan kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang yang terpelihara melalui keluhuran perlembagaan.

Allah SWT berfirman: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya’: 107). 

Ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap tindakan harus berlandaskan kasih sayang dan belas kasihan. Dalam konteks tragedi adik Zara, rahmah menuntut kita untuk tidak terburu-buru menghukum tanpa bukti.  Tidak merobek luka keluarga dengan tuduhan liar dan tidak menjadikan kesedihan ini sebagai bahan tontonan atau modal sensasi.

Rasulullah SAW bersabda sebagaimana riwayat imam Bukhari, “Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain maka dia tidak akan dikasihi.”

Inilah nilai Rahmah yang mengajar kita bahawa empati adalah tanda iman dan keprihatinan adalah asas kemuliaan. Maka jadilah masyarakat yang hadir memberi bahu untuk keluarga yang sedang diuji bukannya tangan yang menuding dan lidah yang menghunus.

Kasih sayang tidak boleh menjadi alasan untuk mengabaikan keadilan. Syariat menuntut kita untuk berlaku adil  walau terhadap orang yang kita benci atau kasihi tanpa melihat perbezaan. 

Firman Allah SWT melalui surah al-Maidah ayat 8: “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil…”

Dalam konteks ini, institusi perundangan negara perlu diberi ruang dan kepercayaan penuh untuk menyiasat secara telus dan profesional. PDRM, Jabatan Peguam Negara dan pihak berkaitan mesti memikul amanah ini dengan tegas kerana jika keadilan tergadai, pasti runtuhlah tiang seri negara.

Etika digital tolak fitnah, sensasi murahan

Tragedi ini bukan sahaja menguji undang-undang tetapi juga integriti kita di era media sosial. Malangnya segelintir pihak mengambil kesempatan dengan menyebar khabar angin, membuat spekulasi atau manipulasi fakta demi keuntungan politik dan perhatian murahan.

Allah SWT memberi amaran keras melalui firman-Nya dalam Surah al-Hujurat ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka selidikilah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan musibah tanpa mengetahui keadaannya…”

Menyebarkan berita palsu adalah dosa dan di sisi undang-undang pula adalah jenayah. Kita tidak mahu kematian adik Zara dinodai oleh naratif palsu yang hanya menambah luka dan memecah-belahkan masyarakat.

Pemergian adik Zara Qairina bukan sekadar kehilangan seorang anak tetapi kehilangan nurani yang memanggil kita semua untuk bangkit. Kita tidak mampu mengembalikan senyumannya serta tidak mampu memadam pedih yang pernah ditanggungnya. Namun, kita mampu memastikan pemergiannya tidak berlalu sia-sia.

Biarlah setiap titisan air mata yang gugur menjadi sumpah bahawa tiada lagi anak akan dibiarkan menderita dalam diam. Biarlah setiap hembusan doa kita menjadi perisai untuk melindungi yang lemah. Dan biarlah setiap suara kita menjadi saksi bahawa di bumi ini, sebenarnya keadilan tetap hidup walau kezaliman cuba membunuhnya!

Jika kita lalai, kita bersubahat. Jika kita berdiam, kita mengizinkan sejarah yang kejam ini berulang. Maka berdirilah di sisi rahmah yang memelihara hati, di sisi keadilan yang menjaga maruah dan di sisi kebenaran yang menolak segala fitnah.

Adik Zara pergi tetapi suaranya walau tanpa kata yang dilahirkan ia tetap bergema dalam hati kita. Suara yang berkata “Jangan biarkan aku pergi tanpa makna.”

Mentari senja redup memancar,Awan berarak membawa hiba,Pergimu Zara meninggalkan sadar,Bahawa zalim tidak lagi layak bernyawa.

Semoga Allah menempatkan roh Allahyarhamah di sisi para solihin dan menghimpunkannya di taman rahmat-Nya yang abadi. Al-Fatihah.


ZULKIFLI MOHAMED ialah CEO Yayasan Rahmah Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link