KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, peminat muzik elektronik tanah air bakal menyaksikan penganjuran HardTech dan Transmission di Malaysia, bersempena hujung minggu Petronas Grand Prix of Malaysia 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 18 dan 19 Oktober ini.
Acara yang dianjurkan Hi:Five Entertainment dengan kerjasama Petronas Sepang International Circuit (SIC) sebagai rakan strategik itu bakal diadakan di Helipad, Litar Antarabangsa Sepang.
Festival ini menjanjikan gabungan tenaga tinggi perlumbaan MotoGP dengan pengalaman muzik elektronik bertaraf dunia yang sarat dengan persembahan DJ antarabangsa dan tempatan.
Menurut Pengarah Urusan Hi:Five Entertainment, Sean Pereira, keputusan membawa ketiga-tiga jenama muzik terkenal dari Eropah itu dibuat selepas melihat 40 hingga 50 peratus pengunjung di festival serupa di Thailand sebenarnya berasal dari Malaysia.
“Peluang itu dimanfaatkan untuk memberi peminat tempatan pengalaman yang sama tanpa perlu berbelanja besar ke luar negara,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media Petronas Grand Prix Malaysia 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Festival selama dua hari itu menyasarkan kehadiran antara 12,000 hingga 15,000 pengunjung.
Barisan DJ antarabangsa yang bakal memeriahkan pentas termasuk Ben Nicky, Markus Schulz Rabbit, Aly & Fila, Sub Zero Project dan Tweekacore, selain turut memberi ruang kepada bakat tempatan seperti Nahksy, Boris Foong, Chukiess & Whackboi serta Mister Ariffin untuk berkongsi pentas di festival bertaraf dunia ini.
Pereira menegaskan, penganjuran ini bukan sekadar hiburan semata-mata, malah menjadi platform untuk mengangkat bakat tempatan, sama seperti bagaimana MotoGP menggalakkan penyertaan pelumba muda negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa festival ini menjadi acara pertama yang melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Antara aspek yang diberi penekanan termasuk penyediaan stesen air bagi mengelakkan dehidrasi, kerjasama rapat dengan polis serta unit penguatkuasaan dadah, penggunaan anjing pengesan, rondaan pasukan keselamatan di dalam kawasan festival, kawasan merokok tertutup, bilik solat, kemudahan makanan dan minuman yang mudah diakses, laluan kecemasan serta hospital bergerak lengkap dengan kelengkapan perubatan,” ujarnya lagi.