PAS kelihatan lebih rasional berbanding Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang terus-menerus menyerang sekutu politiknya DAP, menurut bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker.
“Dalam hal ini, tindakan Akmal sebenarnya lebih teruk daripada rakan seangkatannya di PAS.
“Pemimpin PAS nampaknya lebih rasional dan tenang dalam kata-kata serta tindakan mereka,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Terdahulu, Pemuda DAP Pulau Pinang menggesa kepimpinan pusat parti itu memutuskan hubungan dengan Akmal susulan protesnya terhadap seorang pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam, selepas pengusaha itu dirakam menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.

Walaupun polis telah mengesahkan siasatan berhubung kejadian itu dan menggesa semua pihak bersabar, Akmal tetap memimpin kumpulan anggota Pemuda Umno berdemonstrasi di hadapan kedai terbabit, dengan anggota Pemuda Bersatu turut menyertai tunjuk perasaan tersebut.
Tanpa gentar, Akmal mencabar DAP untuk melaksanakan gesaan itu, mendakwa sebarang tindakan memutuskan hubungan politik dengannya sama seperti memutuskan hubungan dengan seluruh sayap Pemuda Umno – dan secara langsung dengan parti induk BN itu sendiri.
DAP ‘membisu’
Sementara itu, Ti menyifatkan DAP mengecewakan kerana gagal berdepan ahli politik ‘nakal’ dalam kerajaan.
Katanya, kegagalan itu menyebabkan berlaku pencabulan politik terhadap golongan minoriti – tanpa sebarang tindakan diambil terhadap pelaku.

Ti mengimbas kembali era BN apabila DAP kerap menyerang MCA supaya bertindak tegas terhadap pemimpin Umno yang bersalah.
Namun, katanya MCA pada waktu itu tidak dapat berbuat banyak memandangkan parti tersebut tidak menguasai kementerian berkaitan dan tidak memiliki kerusi mencukupi di Dewan Rakyat.
“Hari ini, DAP mempunyai jumlah kerusi parlimen terbesar dalam kerajaan, cukup kuat untuk menuntut tindakan tegas terhadap ahli politik nakal.
“Parti itu tidak sepatutnya menjadi rakan kongsi yang membisu. Berpura-pura pekak, bisu dan buta terhadap kebejatan yang dilakukan ahli politik seperti itu tidak membantu. DAP sepatutnya tegas.

“Lagipun, inilah sebabnya rakyat mengundi kamu untuk berkuasa pada awalnya,” kata Ti.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menggesa sayap pemuda partinya membuat laporan polis terhadap Akmal, dengan berkata tindakan Akmal memilih untuk menggunakan “intimidasi dan pembulian” tidak membantu meredakan ketegangan dalam kontroversi bendera negara yang digantung terbalik itu.
‘Taring DAP tumpul’ – Urimai
Sementara itu, Timbalan pengerusi penaja Urimai, David Marshel menempelak DAP yang disifatkannya telah ‘tumpul taring’ apabila berdepan dengan Akmal.
“Dan sikap berdiam diri Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang sering digambarkan sebagai pendamai dan negarawan dunia, amat ketara.

“Jika beliau tidak dapat memastikan keamanan dan kestabilan di dalam negara, apa nilai seruan beliau untuk keamanan di luar negara?” soalnya pada satu kenyataan hari ini.