PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka mencatatkan pergerakan mendatar dengan kecenderungan menaik secara sederhana dalam julat 1,600 hingga 1,620 mata minggu ini, didorong oleh sentimen berhati-hati terhadap rundingan tarif yang bakal berlangsung antara pihak melibatkan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Pada 5 petang ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 4.71 mata atau 0.30 peratus kepada 1,576.34 daripada paras 1,581.05 semalam.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, pasaran menunjukkan tanda-tanda kestabilan selepas pelaksanaan kadar tarif terdahulu, yang dilihat memberi gambaran positif kepada hubungan dua hala.
“Jika rundingan akan datang menghasilkan perkembangan yang konstruktif, tidak mustahil pasaran akan mencatat kenaikan lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Umi Hamidaton berkata, sektor semikonduktor dilaporkan kekal dikecualikan daripada kadar tarif baharu yang dikenakan.
“Amerika Syarikat (AS) turut menyatakan kesediaan untuk memberikan lebih banyak pengecualian dalam rundingan yang akan datang satu perkembangan yang memberi harapan baharu kepada industri eksport serantau,” katanya.
Umi Hamidaton turut menjelaskan, pelaksanaan tarif boleh memberi impak kepada eksport negara, namun struktur ekonomi Malaysia yang diversifikasi, terutamanya dengan sumbangan besar sektor perkhidmatan, dilihat mampu menepis kesan negatif secara menyeluruh.
“Setakat ini, pengecualian tarif yang diberikan telah membantu memastikan eksport bernilai tinggi negara tidak terlalu terjejas secara langsung,” katanya.
Selain itu, jelas beliau, impak dijangka lebih ketara kepada produk eksport yang tidak tersenarai dalam pengecualian, namun sektor-sektor tertentu dilihat akan terus mendorong prestasi positif dalam eksport negara.
“Saya turut berharap sektor-sektor lain seperti elektronik pengguna dan automotif juga akan mendapat pengecualian tarif dalam rundingan seterusnya satu faktor yang mampu melonjakkan semula momentum eksport negara menjelang suku akhir tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, Bursa Malaysia dijangka terus berlegar dalam keadaan lemah dengan paras indeks sekitar 1,570 menjelang hujung minggu ini dan awal minggu hadapan.
Beliau menyatakan, setakat ini, belum kelihatan sebarang usaha signifikan daripada pihak kerajaan untuk merangsang pasaran ekuiti tempatan.
Katanya, kekurangan inisiatif bersasar khususnya dalam menarik minat pelabur institusi, termasuk dana asing, terus membebankan prestasi bursa.
“Setakat ini, tiada langkah konkrit daripada kerajaan untuk melonjakkan semula sentimen pelabur.
“Pembelian dari dana luar negara juga dilihat masih hambar,” katanya.
Dalam situasi ini, beliau menggesa syarikat-syarikat tersenarai disaran memainkan peranan lebih proaktif untuk meningkatkan minat pelabur.
“Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan memperhebat promosi dan ketelusan maklumat, terutamanya berkaitan projek-projek baharu yang diperoleh.
“Pengumuman projek yang jelas dan agresif boleh meningkatkan keyakinan pelabur terhadap potensi syarikat-syarikat ini. Usaha ini penting bagi menarik perhatian pelabur, khususnya dari luar negara,” tambahnya.
Bagaimanapun, Mohd. Rizal berkata, terdapat sedikit sinar harapan di sebalik kelembapan pasaran.
“Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik dijangka dapat menyokong pemulihan jangka pendek bursa.
“Saya menjangkakan terdapat sedikit peningkatan dalam pasaran menjelang Jumaat ini, selari dengan sentimen KDNK yang lebih positif. Namun, pemulihan ini mungkin tidak bertahan lama jika tiada sokongan menyeluruh dari pelbagai pihak,” katanya.
Mohd. Rizal berkata, pelabur dinasihatkan untuk terus berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan, sambil memantau perkembangan makroekonomi dan dasar-dasar baharu kerajaan yang mungkin mempengaruhi pergerakan pasaran.-UTUSAN