Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengeluarkan amaran terhadap tindakan mempamerkan Jalur Gemilang secara tidak wajar, serta mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam hal sedemikian.
Dalam kenyataan hari ini, AGC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang perbuatan mempamer, mengibar atau memasang Jalur Gemilang secara tidak betul atau tidak mengikut tatacara yang sewajarnya.
Jabatan itu merujuk beberapa insiden kesilapan memaparkan bendera, antaranya:
-
Pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang;
-
Pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan;
-
Pempaparan bendera Malaysia yang tidak lengkap dalam buku laporan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2024; dan
-
Pempaparan bendera yang tidak lengkap dalam akaun media sosial rasmi milik akhbar Sin Chew Daily, Kwong Wah Yit Poh dan Harian Metro.
“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab untuk menghormati bendera Malaysia sebagai simbol kedaulatan negara, serta mematuhi undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa berkaitan penggunaannya.
“Sebarang kesalahan berkaitan pemasangan atau pempaparan bendera Malaysia secara tidak wajar yang boleh menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Dalam pada itu, Jabatan ini juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap sesiapa jua yang disyaki terlibat dalam perbuatan tersebut,” kata AGC sambil menggariskan beberapa tindakan yang dianggap menyalahi undang-undang.

AGC juga melarang:
-
Menyerbu premis pihak yang disyaki;
-
Menularkan maklumat peribadi atau membuat tuduhan melulu di media sosial;
-
Mencetuskan provokasi atau ugutan terhadap individu atau organisasi terlibat; dan
-
Mengambil alih peranan pihak berkuasa seperti mengarah penurunan bendera atau menyita bahan terlibat tanpa kuasa undang-undang.
“Sebaliknya, sebarang aduan atau maklumat mengenai perkara ini hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” tambah kenyataan itu.
Kenyataan AGC ini dikeluarkan di tengah-tengah ketegangan antara Pemuda Umno dan rakan sejawatnya dalam DAP susulan bendera Malaysia yang digantung terbalik di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mengetuai perhimpunan berhampiran kedai tersebut yang turut disertai pemimpin Bersatu di Kepala Batas, sehingga mencetuskan tuduhan menggalakkan keadilan sendiri. Kira-kira 300 orang menyertai himpunan itu.
Dalam ucapannya, Akmal menafikan dirinya seorang pembuli dan menegaskan isu bendera negara adalah perkara serius yang melangkaui batas kaum, agama dan fahaman politik.
Sementara itu, ahli-ahli DAP hadir di luar kedai perkakasan tersebut untuk mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai, yang dilihat sebagai respons balas, meskipun polis memberi amaran terhadap sebarang perhimpunan.
Keseluruhan deretan kedai berhampiran kedai perkakasan itu juga menutup operasi seawal jam 3 petang bagi mengelak terlibat dalam himpunan tersebut.

Susulan perhimpunan semalam, Pemuda DAP Pulau Pinang mengumumkan akan memutuskan hubungan dengan Akmal dan menggesa kepimpinan parti melakukan perkara sama.
Menurut Pemuda DAP Pulau Pinang, Akmal telah melakukan pelanggaran serius terhadap prinsip kedaulatan undang-undang negara melalui tindakannya.
Kata mereka, Adun Merlimau itu bukan sahaja bertindak bertentangan dengan prinsip inklusif kerajaan perpaduan, malah telah membangkitkan sentimen perkauman dan menjejaskan keyakinan awam terhadap keupayaan kerajaan mengekalkan kestabilan negara.
Namun, Akmal membalas tanpa gentar berkata kepada parti itu: “silakan.”
