Pemuda DAP Kedah menyusuli Pulau Pinang dalam menggesa kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dan menghentikan kerjasama dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, dalam apa jua bentuk pada pilihan raya umum akan datang.
Mereka menyifatkan Akmal yang tetap “berdegil” mengadakan protes dan bertindak seperti samseng di Kepala Batas semalam – susulan kesilapan pemasangan Jalur Gemilang di sebuah kedai perkakasan di situ – seolah-olah membantu Pemuda Bersatu dan PAS menggugat kerajaan dengan naratif perkauman.
“Perbuatan ini menjadikannya seperti ‘tali barut’ PN di dalam kerajaan.
“Lebih baik Akmal menjadi Ketua Pemuda PN daripada terus bersembunyi di bawah kerangka kerajaan perpaduan,” kata Pemuda DAP Kedah dalam kenyataan hari ini.
Selain kerap menuduh pihak lain tidak patriotik, kata Pemuda DAP Kedah lagi, Pemuda Umno yang diketuai Akmal beberapa kali menggunakan reka bentuk dan versi Jalur Gemilang yang salah dalam siaran media mereka – menunjukkan sikap dwistandard yang memalukan.
“Mengapakah tidak mengambil tindakan yang sama tegas untuk mengecam, menghentam atau bahkan mengheret ahlinya sendiri untuk ‘mendidik’ mereka?
“Tindakan samseng dan tidak beradab yang ditunjukkan oleh Akmal membuktikan dia adalah ahli politik yang langsung tidak menghormati kedaulatan undang-undang.
“Pihak yang benar-benar mencemarkan semangat Jalur Gemilang adalah mereka yang menjadikannya sebagai senjata politik,” katanya lagi.

Pemuda DAP Kedah juga berkata tindakan Akmal yang sengaja meniup sentimen perkauman bagi menanam kebencian membuktikan dia telah jauh menyimpang daripada tanggungjawab politik anak muda.
Sayap itu turut menegaskan asas kepada sebarang kerjasama politik adalah kesediaan menjunjung nilai serta mencari persefahaman bersama.
“Jelas sekali, dari segi prinsip dan tindakan, Akmal tidak lagi layak menjadi rakan kerjasama, baik dalam Kerajaan Perpaduan mahupun dalam konteks pilihan raya,” katanya.
Terdahulu, Pemuda DAP Pulau Pinang menggesa kepimpinan parti itu memutuskan hubungan dengan Akmal, dengan menyifatkannya telah melampau dan menjadi ancaman nyata serta segera kepada keharmonian negara dan kedaulatan undang-undang.
Ia susulan protes yang diketuai Akmal terhadap pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam, selepas individu itu dirakam menggantung bendera kebangsaan secara terbalik.
Selepas kejadian itu tular di media sosial, pemilik kedai, Pang Chin Tian berkata dia sedang mengukur panjang tiang besi ketika menggantung bendera dan tidak menyedari ia dalam keadaan terbalik.
Pang telah ditahan dan disiasat polis berhubung insiden itu.