Malaysia Oversight

Kes Zara Qairina pemangkin penggubalan Akta Koroner

By MkiniBM in August 15, 2025 – Reading time 4 minute
Kes Zara Qairina pemangkin penggubalan Akta Koroner


Kematian tragis Zara Qairina bukan sekadar meragut nyawa seorang anak, tetapi menjadi tamparan hebat kepada sistem keadilan negara.

Peristiwa ini mengundang persoalan besar mengenai ketelusan dan integriti proses siasatan kematian di Malaysia.

Pihak keluarga mendakwa wujud unsur kecuaian dan tanda-tanda mencurigakan, namun tiada bedah siasat atau inkues dijalankan pada peringkat awal.

Apabila proses tersebut akhirnya dimulakan, ia tetap dikendalikan sepenuhnya oleh pihak polis, tanpa adanya mekanisme bebas yang mampu menjamin keputusan yang telus, berkecuali, dan diyakini umum.

Situasi ini mendedahkan kelemahan asas dalam sistem perundangan negara, iaitu ketiadaan sebuah Akta Koroner yang bebas seperti yang telah lama dilaksanakan di Singapura dan United Kingdom.

Di Malaysia, siasatan kematian dikawal di bawah Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Berdasarkan peruntukan ini, pihak polis memulakan siasatan, mengarahkan bedah siasat, dan membawa kes ke hadapan majistret untuk inkues jika perlu.

27ab986f24552334ccd61816b0a8c6fd

Sistem ini memberikan kuasa utama kepada agensi penguatkuasaan yang pada masa sama mungkin menjadi subjek siasatan, sekali gus mewujudkan konflik kepentingan yang jelas dan membuka ruang kepada kecuaian.

Ketiadaan institusi koroner yang bebas menimbulkan risiko campur tangan dan bias, terutama dalam kes-kes melibatkan kematian dalam tahanan atau melibatkan agensi penguatkuasaan.

Sejarah telah membuktikan implikasi kelemahan ini.

Kematian Teoh Beng Hock pada tahun 2009, seorang saksi SPRM yang ditemui mati di bangunan agensi tersebut, membawa kepada inkues panjang, kesimpulan bercanggah, dan desakan berterusan daripada keluarga serta masyarakat sivil untuk mendapatkan jawapan muktamad.

Pada tahun yang sama, kematian A. Kugan pula mendedahkan percanggahan ketara antara dua laporan bedah siasat berasingan. Pada 2011, kematian Ahmad Sarbani Mohamed mencetuskan pertikaian antara dapatan inkues dengan keputusan mahkamah sivil.

98f6d19d30a341d69cb99dffdf0c9491

Pada 2017, S Balamurugan meninggal dunia dalam tahanan walaupun terdapat arahan majistret supaya beliau dibebaskan dan diberi rawatan perubatan. Baru-baru ini pada 2021, kematian A Ganapathy membuktikan wujud kecuaian serius dalam pengendalian tahanan.

Dalam kes pelajar, insiden seperti kematian Mohamad Thaqif Amin pada 2017 dan S Vinosiny pada 2022 menonjolkan isu kelewatan, percanggahan, dan komunikasi yang tidak telus dalam menentukan punca kematian.

Kes-kes ini menggambarkan corak berulang iaitu ketidaktelusan siasatan, standardisasi forensik yang tidak konsisten, dan kekangan akses keluarga terhadap bukti, yang sama seperti apa yang sedang dipersoalkan dalam kes Zara.

Keluarga mangsa sering berdepan halangan besar untuk mendapatkan akses penuh kepada fail siasatan, bukti forensik, dan laporan bedah siasat. Ketidakseragaman prosedur antara negeri dan daerah, bergantung kepada budi bicara pegawai penyiasat dan majistret, memburukkan lagi keadaan.

Keyakinan awam semakin terhakis apabila keputusan inkues dilihat berat sebelah atau tidak telus.

62b0f5bd49127f5adb9a8e77da5373f7

Kes Zara menjadi gambaran nyata masalah ini. Keluarganya memerlukan jawapan yang sahih, namun terpaksa bergantung kepada saluran yang sama yang berpotensi mempertahankan institusi sendiri atau terdedah kepada kecuaian pihak penguat kuasa.

Sekiranya Malaysia menggubal Akta Koroner seperti Coroners Act 2010 di Singapura atau Coroners and Justice Act 2009 di United Kingdom, setiap kematian luar biasa, mencurigakan, atau tidak dapat dijelaskan akan disiasat mengikut prosedur nasional yang seragam oleh koroner bebas yang tidak terikat kepada polis atau mana-mana agensi penguatkuasaan.

Keluarga akan mempunyai hak undang-undang untuk mengakses dapatan siasatan, menyoal saksi, dan mengambil bahagian secara bermakna dalam inkues. Integriti forensik juga akan diperkukuh dengan autopsi dijalankan di bawah arahan koroner oleh pakar forensik bebas, mengurangkan risiko bukti dimanipulasi atau disembunyikan.

Negara lain telah membuktikan keberkesanan sistem sebegini. Di Singapura, setiap kematian yang luar biasa, mendadak, atau mencurigakan wajib dilaporkan kepada koroner yang berkuasa mengarahkan autopsi, memanggil saksi, dan menentukan punca kematian di mahkamah terbuka.

Di United Kingdom, koroner adalah pegawai kehakiman bebas yang menyiasat kematian demi kepentingan awam, khususnya dalam kes berprofil tinggi atau melibatkan agensi . Di Australia dan Kanada, sistem koroner beroperasi di peringkat negeri atau wilayah dengan kuasa yang sepenuhnya bebas daripada polis, dan laporan mereka sering membawa kepada reformasi dasar serta undang-undang.

d3695742c373719dd0b96ae7abf48f12

Kes Zara adalah peringatan tegas bahawa nyawa rakyat tidak boleh dibiarkan menjadi sekadar angka statistik. Malaysia memerlukan Akta Koroner dengan segera untuk memastikan setiap kematian mencurigakan disiasat oleh badan yang benar-benar bebas, profesional, dan telus.

Penangguhan hanya akan mengheret lebih ramai keluarga ke dalam penderitaan mencari kebenaran yang mungkin terkubur bersama jasad insan tersayang.

Jika Singapura, United Kingdom, Australia, dan Kanada telah membuktikan nilai sistem ini, tiada alasan munasabah bagi Malaysia untuk terus bergantung pada model lama yang berasaskan budi bicara pihak yang berpotensi mempunyai konflik kepentingan. Kebenaran adalah hak, bukan keistimewaan, dan kes Zara mesti menjadi titik mula kepada reformasi yang sudah terlalu lama tertangguh.


ARMIN BANIAZ PAHAMIN ialah Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link