Seorang murid perempuan prasekolah yang mengalami keretakan dan pendarahan di kepala dipercayai terjatuh akibat ditolak rakan di sebuah sekolah di negeri ini pada Isnin lepas, kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata kanak-kanak itu telah menjalani pembedahan selama lebih tujuh jam bagi mengeluarkan pendarahan tersebut dan kini berada di bawah pemerhatian rapi pihak hospital.
Beliau berkata difahamkan kejadian berlaku ketika murid itu menemani ibunya, seorang guru prasekolah yang sedang membuat persiapan pentas untuk program Sambutan Hari Lahir Peringkat Sekolah sebelum dia dilaporkan terjatuh di tapak perhimpunan sekolah berkenaan pada 6.45 petang.
“Ketika bermain bersama rakan sebaya murid ini telah terjatuh namun keadaannya kelihatan normal tanpa kecederaan luaran hingga ke malam, namun kanak-kanak itu tersebut didapati tidak sedarkan diri kira-kira pukul 2 pagi.
“Susulan itu, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke HSA dan pemeriksaan mendapati terdapat keretakan serta pendarahan di bahagian kepalanya,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, Khairin-Nisa meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa di hospital berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Ahmad Hashim Selamat dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Mohd Hanafi Samad.
“Semoga adik ini diberikan kesembuhan sepenuhnya dan keluarga terus diberikan kekuatan menghadapi ujian ini. Sama-sama kita doakan yang terbaik, ” katanya.
– Bernama