Malaysia Oversight

Tiada pelatih PLKN maut akibat buli, cuai

By MkiniBM in August 15, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Kementerian Pertahanan (Mindef) mengesahkan tiada kematian dalam program terdahulu Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berpunca daripada kecuaian atau kejadian buli.

Kementerian itu memaklumkan bahawa PLKN 1.0 dan 2.0 dari 2004 hingga 2018 melibatkan 894,256 peserta, dengan sejumlah 20 kematian direkodkan.

Bagaimanapun, menurut Mindef, “majoriti” kematian tersebut disebabkan komplikasi kesihatan sedia ada atau serangan jantung secara mengejut.

“Hasil siasatan pihak berkuasa telah mengesahkan bahawa tiada kes kematian yang disebabkan oleh kecuaian semasa latihan atau insiden buli.

e6d85bcef5d412b4764ee293edd3423c

“Sehubungan dengan itu, Kementerian Pertahanan menegaskan komitmennya untuk memastikan pelaksanaan program ini lebih selamat, berfokus dan relevan dengan keperluan serta cabaran semasa generasi belia,” kata kementerian itu pada jawapan bertulis parlimen semalam.

Mindef pimpinan Menterinya Khaled Nordin itu menjawab pertanyaan Ahli Parlimen DAP dari Raub, Chow Yu Hui, yang meminta statistik kes buli atau kematian di kem PLKN dari 2003 hingga 2017.

Ahli parlimen itu juga meminta penjelasan jika individu yang dipanggil menyertai PLKN 3.0 secara wajib akan dikenakan denda jika gagal melapor diri.

Menjawab soalan tersebut, kementerian memaklumkan penyertaan dalam Fasa Latihan PLKN 3.0 adalah wajib bagi individu yang terpilih dan diberikan notis rasmi, selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003.

e2bbffe768e2562c85f44db1a432419c

Kementerian Pertahanan menjelaskan bahawa di bawah Seksyen 19 akta tersebut, kegagalan melapor diri tanpa alasan munasabah atau pengecualian sah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM3,000, penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Mindef berkata pihaknya telah merangka beberapa langkah strategik secara berfasa untuk menangani masalah ketidakhadiran, termasuk menghantar notis rasmi melalui pos berdaftar, menyiarkan senarai pelatih melalui saluran rasmi dan media sosial, serta pengesanan aktif melalui lawatan ke rumah.

Selain itu, penangguhan hanya dibenarkan maksimum dua kali, tertakluk kepada pengemukaan alasan kukuh yang disokong dokumen berkaitan.

Jika pelatih masih gagal hadir selepas tempoh penangguhan tamat maka Mindef berkata sesi kaunseling bersama ahli keluarga akan diatur sebagai langkah intervensi terakhir untuk mendapatkan maklum balas.

Sekiranya semua pendekatan diplomatik dan mekanisme sokongan gagal, tindakan undang-undang akan dikuatkuasakan sepenuhnya mengikut akta, tegas kementerian itu lagi.

Mindef juga memaklumkan setakat ini, dua siri PLKN 3.0 menunjukkan perkembangan yang “positif dan menggalakkan”, dengan penyertaan 560 pelatih berusia antara 17 hingga 27 tahun, terdiri daripada 116 pelatih bagi Siri 1 dan 444 pelatih bagi Siri 2.



Source link