Malaysia Oversight

Serangan terhadap anak Rafizi tunjuk peningkatan intimidasi politik

By MkiniBM in August 15, 2025 – Reading time 2 minute
Serangan terhadap anak Rafizi tunjuk peningkatan intimidasi politik


Serangan terhadap anak bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli merupakan peningkatan berbahaya dalam taktik intimidasi politik, kata NGO Projek Sama.

Projek Sama dalam kenyataan berkata ia menunjukkan ada pihak sanggup melampaui batas, termasuk menyerang kanak-kanak.

“Ini sama sekali tidak boleh dibiarkan. Kami menyeru semua pihak, Perdana Menteri, para pemimpin dan parti politik, masyarakat sivil, media, serta seluruh rakyat Malaysia untuk berdiri teguh menyatakan solidariti dengan Rafizi Ramli dan keluarganya.

“Diam bererti bersekongkol. Setiap warganegara dan institusi yang peduli akan masa depan demokrasi negara mesti bangkit mengecam dengan lantang tindakan biadab ini,” katanya.

Kelmarin, anak Rafizi diserang dua lelaki berpakaian hitam dan memakai topi keledar penuh di tempat letak kereta sebuah pusat membeli-belah di .

Anaknya diheret dan dicucuk dengan jarum suntikan ketika Rafizi dan isterinya sedang menuju ke kereta mereka. Kanak-kanak berusia 12 tahun itu dimasukkan ke Hospital UPM untuk menjalani pemeriksaan.

Semalam, ahli parlimen Pandan itu menegaskan serangan terhadap anaknya adalah berkaitan dengan tugasnya sebagai ahli parlimen, dan berikrar dia dan keluarganya tidak akan mengubah pendirian mereka.

Rafizi juga mendedahkan menerima mesej ugutan selepas serangan tersebut.

Projek Sama mengingatkan semua pihak bahawa persaingan politik tidak seharusnya bertukar menjadi dendam, kebencian dan keganasan.

“Pertembungan idea dan dasar adalah sihat; sebaliknya, ugutan, ancaman, dan serangan fizikal adalah pelanggaran asas norma demokratik dan adab kemanusiaan,” tegasnya.

NGO itu berkata kejadian ini turut mendedahkan kelemahan sistemik: persepsi medan politik yang tidak seimbang, institusi yang berat sebelah atau lemah, serta penguatkuasaan undang-undang yang tidak konsisten.

“Kelemahan ini, jika tidak ditangani, akan terus mewujudkan iklim yang menggalakkan perlakuan berbahaya seperti ini.

“Kita harus bertanya: jika kritikan politik atau perbezaan pendapat boleh mencetuskan serangan fizikal terhadap keluarga seseorang, apakah harapan yang tinggal untuk wacana politik yang bebas, terbuka, dan adil?” soal Projek Sama.



Source link