Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Turkiye, United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) mengutuk tindakan Israel meluluskan pelan pembinaan ribuan unit penempatan haram di Tebing Barat, sambil memberi amaran bahawa langkah itu melanggar undang-undang antarabangsa dan seterusnya menjejaskan penyelesaian dua negara.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, menerusi kenyataan pejabat jurucakapnya menegaskan bahawa penempatan Israel di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan pembinaan di kawasan E1 akan memutuskan hubungan antara utara dan selatan Tebing Barat, sekali gus menjejaskan prospek penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaya maju dan terhubung.
Beliau menggesa pihak berkuasa Israel segera menghentikan proses itu, sambil mengulangi gesaannya agar Israel menghentikan semua aktiviti penempatan selaras dengan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa dan seperti ditegaskan semula oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam Pendapat Nasihatnya pada 19 Julai 2024.
Kementerian Luar Turkiye turut mengutuk langkah itu, menyifatkannya sebagai tindakan yang mengabaikan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB, selain menjejaskan integriti wilayah Palestin.
Kementerian itu menegaskan semula sokongan Ankara terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
Di London, Setiausaha Luar UK David Lammy berkata tindakan Israel menjejaskan lagi penyelesaian dua negara dan menggesa gencatan senjata segera di Gaza, pembebasan semua tawanan, peningkatan bantuan kemanusiaan serta satu pelan untuk keamanan berkekalan.
Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas turut mengulangi kecaman, menggesa Israel menghentikan pembinaan penempatan.
Beliau memberi amaran bahawa keputusan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan jika dilaksanakan akan memutuskan secara kekal kesinambungan geografi dan wilayah antara Baitulmuqaddis Timur yang diduduki dan Tebing Barat.
Kallas menegaskan tindakan unilateral, digabungkan dengan keganasan melampau pendatang dan operasi ketenteraan meningkatkan ketegangan dan melemahkan peluang untuk keamanan, sambil menambah bahawa EU sedang mempertimbangkan tindakan bagi melindungi kelangsungan penyelesaian dua negara.
Media Israel pada Khamis melaporkan bahawa Menteri Kewangan Bezalel Smotrich meluluskan pembinaan 3,401 unit penempatan di Ma’ale Adumim, timur Baitulmuqaddis dan tambahan 3,515 unit di kawasan sekitarnya.
Projek di koridor E1 itu secara efektif akan membahagikan Tebing Barat kepada bahagian utara dan selatan, sekali gus mengasingkan Baitulmuqaddis Timur.
Kementerian Luar Palestin mengecam pelan itu sebagai sebahagian daripada visi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk “Israel Raya”, sambil menyatakan ia akan mengukuhkan penjajahan dan memusnahkan kelangsungan negara Palestin.
– Bernama- Anadolu