Saman pemula dikemukakan bekas menteri P Waythamoorthy yang mendakwa status Anwar Ibrahim sebagai ahli Parlimen dan Perdana Menteri tidak sah menunjukkan pemimpin pembangkang “lapar kuasa”.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Siti Aishah Shaik Ismail sebaliknya mencabar Waythamoorthy yang juga presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) bertanding semula pada pilihan raya akan datang.
“Saya meneliti satu sidang media yang dibuat oleh Waythamoorthy dan beberapa pemimpin pembangkang yang sekali lagi menjadikan kedudukan Perdana Menteri sebagai tidak sah.
“Segala hujah yang dinyatakan adalah bersifat dangkal dan berulang-ulang yang langsung tidak berpaksikan kepada hakikat sebenar keadaan yang ada sesuai fakta mengikut perlembagaan negara.
“Rata-rata rakyat sedar bahawa kepedulian kerajaan hari ini adalah sesuatu yang menjadi harapan mereka, maka nasihat saya kepada Waythamoorthy dan pemimpin pembangkang berpijaklah di bumi yang nyata, jangan jadikan rakyat mangsa kepada “lapar kuasa” kamu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Waythamoorthy memfailkan saman pemula terhadap Anwar, mendakwa statusnya sebagai ahli parlimen dan perdana menteri tidak sah di sisi perlembagaan.

Dalam saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, Waytha memohon pengisytiharan bahawa kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli Dewan Rakyat “tidak pernah dibatalkan” oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, perkara itu merupakan tindakan mengelirukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu dalam pelantikan defendan sebagai perdana menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Waythamoorthy turut mencabar Anwar supaya mendedahkan sepenuhnya dokumen petisyen pengampunan diraja dalam tempoh 24 jam.
Bagaimanapun PN hari ini menafikan dakwaan gabungan itu mempunyai kaitan dengan saman pemula dikemukakan Waythamoorthy.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata tindakan Waythamoorthy adalah bersifat peribadi atas kapasitinya sebagai rakyat Malaysia.

“Apabila seseorang itu diampun (oleh Yang di-Pertuan Agong) ada satu kekangan disqualification beliau tidak boleh bertanding sebagai ahli Dewan Rakyat selama lima tahun kecuali ianya dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Yang saya nak sebutnya PN tak terlibat, itu kes peribadi Waythamoorthy,” kata Takiyuddin.
Mengulas lanjut, Siti berkata di bawah kepimpinan Anwar negara kini berada di tanda aras yang terbaik di Asean.
“Rakyat dengan yakin sedang bersama dengan Kerajaan Perpaduan ini untuk terus memacu negara ke arah yang lebih baik.
“Kepada pemimpin yang “lapar kuasa” pilihan raya akan datang berbaki sekitar dua tahun dari sekarang jangan perlekehkan rakyat dengan cara kamu berfikir kerana rakyat kini segar bersama Madani,” katanya.