Seorang pemimpin Warisan menuntut SPRM menjelaskan jika suruhanjaya itu sedang menyiasat skandal perlombongan Sabah “siri kedua”, yang mengaitkan enam lagi pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ahli majlis tertinggi Warisan Ahmad Hassan turut mengingatkan SPRM mengenai amaran bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim bahawa kewibawaan suruhanjaya itu kini menjadi taruhan.
Saya amat setuju dengan kenyataan Zaid bahawa polis dan SPRM telah menerima tamparan hebat terhadap keyakinan awam berhubung cara mereka mengendalikan dua kes tersebut.
“Justeru itu, polis dan SPRM digesa untuk mengambil tindakan secara adil dan telus berhubung kedua-dua kes berprofil tinggi tersebut, siasatan harus dijalankan secara bebas dan berkala memaklumkan perkembangan kes kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Zaid merujuk skandal perlombongan itu dan kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir di Sabah, sebagai contoh kes yang mendedahkan agensi penguatkuasaan kepada perrhatian luar biasa.
Dia memberi amaran bahawa kedua-dua kes itu telah “membuka secara terang kelemahan membimbangkan” dalam keupayaan – malah mungkin keikhlasan – kerajaan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.
Senada dengan Zaid, Ahmad turut mempersoalkan mengapa agensi penguatkuasaan hanya bertindak tegas selepas sesuatu kes tular di media sosial.
“Tanpa fenomena viral di media sosial, agensi penguatkuasaan seolah-olah mengabaikan kejadian yang berlaku.
“Adakah kaedah viral di media sosial menjadi trend kini untuk mendedahkan kes jenayah berprofil tinggi baru agensi penguatkuasaan bersedia mengambil tindakan yang sewajarnya?
“Apa sebenarnya yang salah dengan sistem dan institusi kerajaan kita hari ini sehingga mewujudkan persepsi demikian kepada masyarakat?” soalnya.
Skandal perlombongan Sabah mula terbongkar pada November tahun lalu apabila ahli perniagaan Albert Tei mendedahkan video dan mesej WhatsApp yang didakwa menunjukkan beberapa Adun GRS menerima rasuah sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.
Tujuh bulan kemudian, dua Adun dan Tei didakwa di mahkamah, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa yang lain – termasuk ahli kabinet negeri – tidak turut dihadapkan dengan pendakwaan.
Pada Jun lalu, Malaysiakini melaporkan enam lagi ahli politik telah dikaitkan: Presiden Star merangkap Timbalan Ketua Menteri I, Jeffrey Kitingan; timbalannya dalam parti, Ellron Alfred Angin (juga menteri belia dan sukan Sabah) dan Robert Tawik (pembantu menteri kerja raya negeri); pemangku presiden PBS merangkap Timbalan Ketua Menteri II, Dr Joachim Gunsalam; pendahulunya Maximus Ongkili; serta naib presiden PBS Jahid Jahim, yang juga menteri pembangunan luar bandar Sabah.
Kitingan kemudian menafikan menerima rasuah RM1.78 juta dan menyifatkan tuduhan itu sebagai serangan bermotif politik untuk menggugat dan menjejaskan kerajaan Sabah.
Gunsalam dan timbalannya turut menafikan tuduhan tersebut.
Pada Ogos lalu, Warisan mencabar keenam-enam mereka membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya dakwaan itu tidak benar.
Sehingga kini, SPRM kekal membisu berhubung perkara itu.