Malaysia Oversight

Premis perniagaan di Perlis tidak kibar Jalur Gemilang berdepan denda RM250

By Utusan in August 14, 2025 – Reading time 2 minute
Premis perniagaan di Perlis tidak kibar Jalur Gemilang berdepan denda RM250


KANGAR: Lebih 10,000 premis perniagaan di seluruh negeri ini wajib mengibar Jalur Gemilang atau bakal berdepan tindakan denda sehingga RM250.

Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mewajibkan seluruh premis perniagaan di Perlis mengibar Jalur Gemilang berkuat kuasa dari 5 Ogos sehingga 30 September depan dan ia selari dengan saranan negeri bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Bagaimanapun, hasil tinjauan Utusan Malaysia terutama di pekan lama Kangar semalam mendapati masih banyak premis perniagaan tidak mengibarkan Jalur Gemilang.

Begitu juga suasana di Arau, dengan pengibaran Jalur Gemilang di premis-premis masih belum rancak meskipun sudah memasuki minggu kedua menjelang sambutan hari kemerdekaan.

Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, operasi penguat kuasaan akan dilakukan bermula minggu ini dengan tindakan bakal diambil jika premis gagal mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

Katanya, tindakan tersebut diambil dibawah Akta Tempatan 1976 kerana kesalahan tidak mematuhi arahan majlis.

“Premis yang gagal mematuhi arahan akan berdepan tindakan saman RM250 bagi setiap satu kesalahan. Kita minta para peniaga di premis perniagaan seluruh Perlis menyahut seruan mengibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

“Pemilik premis juga perlu memastikan bendera yang dipasang itu berada dalam keadaan baik, tertib dan mengikut kedudukan sewajarnya. Bagi bendera yang lusuh dan koyak hendaklah digantikan segera dengan bendera baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tambah Affendi Rajini, MPK juga akan menyediakan 2,000 Jalur Gemilang untuk dipasang di kawasan seliaanya.

Sementara itu, seorang peniaga di Kangar yang enggan mendedahkan nama berkata, dia akan mula mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri bermula minggu ini.

“Selalunya, menjelang seminggu sebelum kemerdekaan baru akan kelihatan banyak Jalur Gemilang yang mula dikibar di premis perniagaan atau di rumah masing-masing.

“Setiap tahun, saya juga tidak pernah ketinggalan mengibarkan Jalur Gemilang, cuma tahun ini agak sedikit terlewat,” katanya.-UTUSAN





Source link