Timbalan presiden PKR Nurul Izzah Anwar turut menyuarakan kemarahan berhubung serangan terhadap anak lelaki Rafizi Ramli.
Nurul Izzah menyifatkan serangan itu sebagai telah melampaui batas.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja jenayah yang serius dan keji, malah pelanggaran terhadap prinsip kemanusiaan yang paling asas.
“Saya secara peribadi terkesan, kerana dalam beberapa minggu kebelakangan ini saya memberi tumpuan terhadap usaha melindungi murid sekolah daripada ancaman dan buli, termasuk di ruang digital.
“Politik mungkin medan pertembungan idea dan pendapat, tetapi keselamatan kanak-kanak dan keluarga tidak boleh sekali-kali digunakan untuk memberi tekanan atau tawar-menawar,” kata Nurul Izzah dalam kenyataan hari ini.
Semalam, anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun telah diheret keluar oleh dua orang lelaki dan dicucuk dengan jarum suntikan ketika bekas timbalan presiden PKR itu, isterinya dan anaknya sedang menuju ke kereta di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Menurut Rafizi, penyerang berkenaan berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar menutup penuh muka.
Diugut dengan AIDS
Hari ini, isterinya turut menerima mesej ugutan, termasuk ancaman untuk menjangkiti anak mereka dengan Aids jika dia tidak berdiam diri.
Rafizi berpandangan serangan itu mungkin ada kaitan dengan pertemuannya baru-baru ini bersama “sekumpulan pemberi maklumat” yang memiliki maklumat berhubung skandal yang melibatkan “seorang individu tertentu”.
Bekas menteri ekonomi itu berkata, walaupun dia pernah menyiasat banyak kes sebelum ini, ini adalah kali pertama dia atau keluarganya menjadi sasaran ancaman — dan kali ini, ugutan itu ditujukan kepada isterinya.
Rafizi tidak menamakan individu terlibat. Namun dalam beberapa minggu kebelakangan ini dia menggesa SPRM membuka kertas siasatan terhadap bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak — seorang ahli politik muda yang kini bergelar usahawan — yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal perlombongan arang batu.