Pihak polis masih berusaha mengenal pasti jenis bahan yang dicucuk pada tangan kiri anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dalam insiden serangan oleh individu tidak dikenali di pusat membeli-belah IOI City Mall, Putrajaya, semalam.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, memaklumkan kanak-kanak tersebut kini berada dalam keadaan stabil di bawah pengawasan hospital.
“Setakat ini kita belum tahu lagi (cecair disuntik), mangsa disuntik pada tangan kiri.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil. Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh melibatkan pelbagai aspek oleh Polis Kontinjen Selangor dengan bantuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, hari ini.

Shazeli berkata sebarang perkembangan kes akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.
“Setakat ini seramai enam individu telah diambil keterangan termasuk mangsa, Rafizi dan isteri,” katanya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan anak lelaki bekas menteri ekonomi itu diserang dua lelaki bermotosikal di kawasan parkir pusat membeli-belah berkenaan.
Rafizi dalam kenyataannya percaya serangan itu berkait rapat dengan kelantangannya bersuara, serta menganggap ia sebagai satu bentuk ugutan terhadap tugasnya sebagai ahli parlimen.

Shazeli turut memaklumkan pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenai pesanan berbaur ugutan yang diterima isteri Rafizi.
“Setakat ini belum terima laporan, dan kita minta laporan rasmi dibuat.
“Suspek masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

“Alhamdulillah kawasan kejadian terdapat banyak kamera litar tertutup (CCTV) yang memberi sinar dan bantuan terhadap siasatan kita.
“Fokus siasatan meliputi pelbagai sudut, termasuk usaha mengenal pasti motif kejadian serta objek yang digunakan oleh suspek,” kata Shazeli lagi.
Polis turut mengalu-alukan maklumat awam berkaitan kes ini. Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mahafiz Mat Lawi di talian 010-2396533 atau Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman di talian 012-2153239.