Malaysia Oversight

Rayuan terakhir Siti Bainun ditolak, hukuman penjara 12 tahun kekal

By MkiniBM in August 14, 2025 – Reading time 2 minute
Rayuan terakhir Siti Bainun ditolak, hukuman penjara 12 tahun kekal


Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan terakhir Siti Bainun Ahd Razali terhadap sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun ke atasnya atas kesalahan mendera dan mengabaikan remaja bernama Bella pada 2021.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Azman Abdullah mendapati tiada alasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkan kesalahan itu dua tahun lalu, yang turut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi tahun lepas.

“Pihak pendakwaan telah membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah,” kata Azman.

Panel hakim juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun. Dua lagi hakim yang mendengar rayuan ini adalah Azmi Ariffin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Pasukan pembelaan Siti Bainun, yang merupakan pengasas Rumah Bonda, dalam prosiding hari ini diketuai Mohd Haijan Omar, Nurul Hafidzah Hassan, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, Asyraaf Abu Bakar Hamzah, Tun Laila Tun Rafaee dan Putri Ainaa Amiera Megat Mustaffa Al-Bakri.

Pasukan pendakwaan pula diketuai timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamed, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamarudin, dan Muhammad Hidayat Wahab.

Siti Bainun didakwa pada 2021 di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan dan mendera Bella sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi, di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, antara Februari dan Jun 2021.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2023 menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas memutuskan Siti Bainun bersalah mengabaikan Bella, dan hukuman penjara 12 tahun kerana mendera mangsa yang berusia 13 tahun itu.

Hakim Izralizam memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Dalam penghakimannya, Izralizam berkata Bella bukan sahaja diabaikan sehingga mengalami kecederaan serius, malah terbukti penjaga sah remaja itu turut terlibat dalam penderaan tersebut.

Dia turut memerintahkan wanita berusia 33 tahun itu menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin dan wang cagaran RM5,000, serta menjalani 200 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas hukuman penjaranya tamat.

Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Siti Bainun.

[Baca berita asal]



Source link