Malaysia Oversight

‘Adakah kebetulan Waytha saman Anwar lepas jumpa pemimpin Bersatu?’

By MkiniBM in August 13, 2025 – Reading time 2 minute
‘Adakah kebetulan Waytha saman Anwar lepas jumpa pemimpin Bersatu?’


Seorang anggota Parlimen DAP mempersoalkan pemilihan masa P Waytha Moorthy dalam memfailkan saman pemula terhadap Ibrahim berhubung pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan anggota Parlimen.

Dalam kenyataan di Facebook semalam, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata tindakan undang-undang itu dibuat selepas Waytha bertemu dengan pemimpin Bersatu.

Syahredzan menyifatkan saman Waytha untuk membatalkan kelayakan sebagai “remeh dan menyusahkan”.

Dia turut mempersoalkan kredibiliti presiden Malaysian Advancement Party (MAP) itu dengan menyorot penglibatan politiknya sebelum ini.

“Peguam ini, atau lebih tepat lagi, P Waytha Moorthy, pernah menjadi anggota kabinet PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020.

“Ketika itu, Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil di Port Dickson dan kembali ke Parlimen sebagai anggota Parlimen.

“Waytha tiada masalah berkenaannya ketika itu. Dia tidak memfailkan sebarang saman untuk membatalkan kelayakan Anwar, sehinggalah Parlimen dibubarkan pada 2022,” kata Syahredzan.

Dia berkata, Anwar telah berkhidmat sebagai anggota Parlimen Tambun selama hampir tiga tahun, dan sepanjang tempoh itu Waytha tidak membantah pemilihannya atau pelantikannya sebagai Perdana Menteri — sehinggalah sekarang.

Katanya lagi, Waytha malah pernah menyifatkan Anwar sebagai “orang terbaik untuk mengetuai Mitra” (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia).

“Bukankah itu pengiktirafan yang Anwar adalah Perdana Menteri yang sah?

“Selama 996 hari Anwar menjadi anggota Parlimen Tambun. Hanya sekarang, Waytha mahu membatalkan kelayakan Anwar? Adakah kebetulan Waythabertemu pemimpin Bersatu bulan lalu, dan hari ini kita dimaklumkan tentang saman terhadap Anwar?” soal Syahredzan lagi.

Semalam, Waytha memfailkan saman pemula terhadap Anwar, mendakwa statusnya sebagai anggota Parlimen dan Perdana Menteri melanggar Perlembagaan.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Waytha memohon pengisytiharan bahawa kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli Dewan Rakyat “tidak pernah dibatalkan” oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini merupakan perkara yang melibatkan salah nyata dan tindakan mengelirukan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (ketika itu) dalam pelantikan defenden sebagai Perdana Menteri di bawah Pekara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah keadaan yang luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini di dalam negara kita, di mana keputusan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong diperoleh berdasarkan kehilangan kelayakan atau salah nyata palsu sekaligus menjejaskan peranan Perlembagaan dan kuasa Yang Dipertuan Agong,” dakwanya pada sidang media di Kuala Lumpur semalam.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut memohon mahkamah mengisytiharkan kemenangan Anwar di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 serta pelantikannya sebagai Perdana Menteri kemudiannya terbatal dan tidak sah.

Menurutnya, Perkara 48(3) memerlukan pembatalan secara nyata oleh Yang di-Pertuan Agong, dan tanpa pembatalan itu, Anwar kekal hilang kelayakan sehingga 15 Mei 2023, termasuk ketika bertanding di parlimen Tambun pada November 2022.

Dia juga menuduh Anwar “secara palsu merepresentasikan dirinya” sebagai layak memegang jawatan Perdana Menteri ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15.

Dia mendakwa walaupun Anwar menerima pengampunan penuh pada 16 Mei 2018, instrumen pengampunan itu tidak membatalkan pembatalan kelayakan di bawah Perkara 48(1)(e).



Source link