Pemuda Umno Terengganu menyiarkan satu grafik dengan imej Jalur Gemilang yang salah.
Kejadian itu berlaku ketika ketua sayap tersebut, Dr Akmal Saleh, sedang lantang mengecam seorang pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan bendera negara secara terbalik.
Sementara itu, gambar lama Akmal memegang bendera Palestin secara terbalik bersama beberapa pemimpin Pemuda Umno lain dua tahun lalu turut kembali tular.

Dalam insiden pertama, Pemuda Umno Terengganu semalam memuat naik grafik bagi menyatakan kemarahan mereka terhadap kesilapan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang, selain menuntut pembelaan terhadap kematian pelajar Sabah, Zara Qairina Mahathir – yang dikatakan menjadi mangsa buli.
Grafik itu memaparkan Jalur Gemilang dan gambar hitam putih Zara.
Bagaimanapun, Jalur Gemilang dalam grafik tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti yang sepatutnya.
Kesilapan itu disedari oleh pengguna media sosial yang peka, dan ramai antara mereka mempersoalkan sama ada Akmal akan juga ‘menyerang’ Pemuda Umno Terengganu.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pemuda Umno Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berhubung perkara itu.
Difahamkan satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung kesilapan tersebut.
Grafik asal itu kemudiannya dipadamkan pada 12.55 tengah hari tadi, dan digantikan dengan grafik baru yang memaparkan bilangan jalur yang betul pada Jalur Gemilang.
Namun ini tidak mengelakan ahli politik yang krtikal terhadap Akmal segera membiadsnya.

Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung menyindir jika Akmal ada mengajar Pemuda Umno Terengganu cara mengenal pasti bendera Malaysia yang betul, sambil memperli mereka agar tidak memadamkan hantaran itu.
“Kita rakyat Malaysia juga kesal dan marah dengan tindakan biadap yang guna bendera #JalurGemilang yang silap pada posting ni,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong membalas dengan satu pepatah Melayu “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga”.

Tanpa menyebut nama, dia turut menggesa Akmal ke Terengganu untuk menyekolahkan Pemuda Umno di negeri berkenaan dan bukannya ke Pulau Pinang.
Veteran DAP Teng Chang Kim pula mahu Akmal ditangkap dan didakwa atas kesalahan dalam kapasitinya sebagai ketua Pemuda Umno.
Warga maya turut menonjolkan foto bertarikh April 2023, yang menunjukkan Akmal dan beberapa pemimpin Pemuda Umno bergambar dengan bendera Palestin yang dipegang secara terbalik.

Gambar ini dirakamkan semasa himpunan solidariti bersama rakyat Palestin di Kuala Lumpur.
Ketegangan isu bendera ini memuncak selepas video berdurasi 20 saat muncul pada Sabtu lalu, menunjukkan seorang pemilik kedai perkakasan, Feng Jin Zhen, mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Feng kemudian menjelaskan bahawa dia sedang mengukur panjang tiang besi ketika menggantung bendera negara dan tidak menyedari bendera itu terbalik. Dia berkata, sebaik menyedarinya, dia segera membetulkan kesilapannya itu.

Namun, Akmal menolak permohonan maaf itu dan mengugut untuk mengadakan protes di hadapan kedai Feng pada Khamis ini jika pemilik perniagaan itu tidak didakwa esok berhubung kesilapan tersebut.
Ketua Pemuda Umno itu berkata, dia mahu mengajar Feng cara memasang bendera negara dengan betul.
Peguam Zaid Malek yang mewakili LFF dan DAP pula menyatakan akan mengambil pendirian menentang Akmal jika dia meneruskan rancangan protes itu.