PARLIMEN | Pembangkang hari ini menuntut polis menjelaskan alasan tidak mengarahkan bedah siasat ke atas mayat pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir berikutan kematian misterinya di Sabah bulan lepas.
Ketua whip pembangkang, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata arahan sedemikian sepatutnya menjadi prosedur standard setiap kali ada kes kematian mengejut.
“Saya nak bertanya pada polis, kebiasaannya ikut peraturan, orang meninggal dunia perlukan permit mengubur. Adakah dalam satu hari, dalam tragedi misteri seumpama ini, polis benarkan jenazah dikebumikan tanpa permit mengubur terlebih dahulu?” soalnya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 petang ini.
Takiyuddin mendakwa Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan polis dengan arahan supaya mereka melengkapkan siasatan juga telah membuktikan bahawa agensi itu tidak melakukan tugas yang sepatutnya dalam kes berkenaan.
Justeru, Setiausaha Agung PAS itu menggesa Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pendidikan membentangkan kepada Dewan Rakyat laporan terperinci berhubung kes itu.
Dia juga bersetuju dengan cadangan Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) supaya pihak berkuasa membuka satu lagi siasatan terhadap pegawai yang terlibat dalam siasatan awal kematian Zara.
Katanya, ia bertujuan mengenal pasti kelemahan dalam siasatan dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
“Siasatan ke atas siasatan terdahulu itu hendaklah merangkumi perkara-perkara berikut: Pengenalpastian pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam siasatan yang tidak dilaksanakan dengan sempurna itu.
“Pengenalpastian individu yang telah mengeluarkan arahan yang membawa kepada kelemahan siasatan itu.
“Penentuan sama ada terdapat campur tangan daripada mana-mana pihak luar pasukan polis, sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang mengakibatkan kelemahan siasatan itu.
“Penetapan tindakan tatatertib atau hukuman yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak, sama ada daripada pasukan polis atau pihak luar, yang didapati melakukan pelanggaran prosedur atau salah laku berkaitan kelemahan siasatan itu.
“Penentuan sama ada kelemahan siasatan tersebut mempunyai kaitan dengan pelanggaran di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan,” kata Saifuddin.
Sementara itu, Ahli Parlimen Amanah dalam sidang media di Parlimen menggesa semua pihak tidak mempolitikkan kes kematian Zara.
Aminolhuda Hassan (Sri Gading), Sany Hamzan (Hulu Langat), Azli Yusof (Shah Alam) dan Suhaizan Kaiat (Pulai) menggesa orang ramai memberi ruang dan kepercayaan kepada polis untuk menyelesaikan siasatan mereka.
“Kami menggesa semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu buli dan nyawa manusia. Keluarga mangsa sedang melalui masa yang amat menyakitkan – tolong jangan sakiti perasaan mereka dengan spekulasi atau retorik politik yang tidak berasas. Hormati perasaan dan maruah mereka.
“Kami juga memberi jaminan bahawa kerajaan Madani akan memastikan siasatan selesai dengan telus, tanpa mengira siapa yang terlibat, seperti yang telah berulang kali ditegaskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kami komited untuk terus memantau kes ini bagi memastikan keadilan untuk mendiang Zara dan keluarganya,” kata Aminolhuda.