Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam pembunuhan enam wartawan Palestin dalam serangan udara Israel di Bandar Gaza pada Ahad, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM) memetik jurucakap beliau, Stephane Dujarric.
“Pembunuhan terbaharu ini menyerlahkan risiko melampau yang terus dihadapi wartawan ketika membuat liputan peperangan berterusan ini,” kata Dujarric pada Isnin.
Setiausaha Agung turut menggesa siasatan bebas dan berkecuali dijalankan terhadap insiden itu.
Menurut jurucakap itu, sekurang-kurangnya 242 wartawan Palestin telah terbunuh di Gaza sejak perang bermula.

Guterres menegaskan bahawa wartawan dan petugas media mesti dihormati serta dilindungi dan dibenarkan melaksanakan tugas mereka tanpa gangguan atau ancaman.
Dalam perkembangan lain, Dujarric memaklumkan bahawa badan dunia itu bersama rakan kerjasamanya telah mengumpulkan bekalan makanan dan kit kebersihan di lintasan Karem Abu Salem.
Bekalan itu terpaksa dipunggah terus dari trak sebelum sampai ke destinasi yang ditetapkan akibat tahap keperluan mendesak di Gaza.
Beliau turut mengesahkan bahawa petugas bantuan membawa masuk bekalan bahan api dari lintasan itu semalam, namun menjelaskan pihak berkuasa Israel hanya membenarkan purata 150,000 liter bahan api sehari, jauh di bawah paras minimum yang diperlukan untuk menyokong operasi menyelamatkan nyawa penduduk Gaza.

Dujarric juga berkata lebih separuh ambulans Bulan Sabit Merah Palestin di seluruh Gaza tidak dapat beroperasi akibat kekurangan bahan api dan alat ganti, yang dihalang daripada memasuki wilayah itu.
– Bernama-WAM