Malaysia Oversight

MP New Zealand diusir dari parlimen lepas gesa sekatan pada Israel

By MkiniBM in August 13, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Seorang ahli Parlimen New Zealand diusir dari dewan perbahasan Parlimen pada Selasa dan digantung menghadiri persidangan untuk sepanjang minggu susulan ucapannya mengenai pengiktirafan negara Palestin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ketua bersama Parti Green, Chloe Swarbrick mencabar ahli Parlimen supaya menyokong rang undang-undang ahlinya yang membolehkan New Zealand mengenakan sekatan ke atas Israel “atas jenayah perangnya.”

“Jika kita dapat mencari enam daripada 68 ahli Parlimen yang berprinsip, kita boleh berada di pihak yang benar dalam sejarah,” kata Swarbrick.

b36da537afd80160fa97018ad0eb4a9b
Parlimen New Zealand

Speaker Dewan, Gerry Brownlee menyifatkan kenyataan itu sebagai “sama sekali tidak boleh diterima” dan mengarahkan Swarbrick menarik balik kenyataan serta memohon maaf, atau meninggalkan dewan bagi tempoh seminggu.

Swarbrick enggan memohon maaf dan berkata beliau “dengan senang hati” akan meninggalkan dewan.

Brownlee kemudian mengesahkan keputusannya, namun menyatakan Swarbrick boleh kembali pada Rabu sekiranya beliau membuat permohonan maaf.

81e3bb45a59e4fb74bff89e959961b17

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri David Seymour membantah tindakan Swarbrick meletakkan selendang Palestin atau keffiyeh, di kerusinya. 

Pada Isnin, Menteri Luar Winston Peters berkata New Zealand akan mempertimbangkan pendiriannya mengenai pengiktirafan negara Palestin dalam tempoh sebulan akan datang.

Hampir 150 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah mengiktiraf negara Palestin, namun beberapa negara Barat termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom, masih belum berbuat demikian.

– Bernama-Dpa



Source link