Malaysia Oversight

Jelutong-Pendang ‘perang mulut’ isu perkauman, tragedi 13 Mei

By MkiniBM in August 13, 2025 – Reading time 2 minute
Jelutong-Pendang 'perang mulut' isu perkauman, tragedi 13 Mei


PARLIMEN l Perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini bertukar panas apabila RSN Rayer (PH–Jelutong) mendesak tindakan segera ke atas Awang Hashim (PN–Pendang) yang didakwa mengaitkan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 dalam nada berbaur perkauman minggu lalu.

Rayer membangkitkan isu bahawa Awang belum menerima sebarang surat daripada Speaker Johari Abdul, walhal dia sebagai pencadang usul itu sudah menerimanya.

5a28eddf41e3666c5b0c676286257edd
Awang Hashim (PN–Pendang)

“Ini adalah isu serius, kita ada dua minggu lagi sebelum persidangan sesi ini berakhir. Kalau kenyataan ini (berbaur perkauman) dibuat orang biasa di luar, mereka ini sudah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

“Bila seorang ahli Parlimen bangkitkan isu 13 Mei, belum ada lagi sebarang tindakan diambil. Saya usulkan Pendang (Awang) dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Ramai tanya saya kenapa belum ada tindakan diambil terhadap Pendang (Awang).

“Saya cuma ingin tahu bagaimanakah YB Pendang boleh mengatakan beliau tak terima surat walhal saya yang usulkan usul itu sudah terima (surat dihantar kepada Awang). Bagaimana beliau boleh kata tak terima surat,” soalnya.

Persoalan itu menyaksikan sesi perbahasan tergendala seketika apabila Awang bangun membalas, lalu secara sinis berkata: “Rasanya dia (Rayer) terbabit 13 Mei, sebab tu dia kacau sangat tu.”

20b9fdc678bade51879021d8efafc55e
Chong Zhemin (PH–Kampar)

Kenyataan itu segera mengundang campur tangan Chong Zhemin (PH–Kampar) yang menuntut Awang supaya menarik balik tuduhan tersebut. Awang akhirnya akur selepas diminta Speaker.

Namun suasana kembali tegang apabila Saifuddin Abdullah (PN–Indera Mahkota) pula bangkit memberikan penjelasan, susulan usul Rayer supaya dia dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung dakwaan melanggar peraturan mesyuarat pada 30 Julai lalu.

“Kononnya saya langgar peraturan mesyuarat ketika kemukakan soalan kepada Menteri Pendidikan. Ketika itu saya bangun untuk minta penjelasan, tetapi menteri pendidikan pilih untuk tidak jawab berkaitan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

“Ketika ribuan orang bangkit melaungkan ‘Justice for Zara’ saya pula dapat usul dari Jelutong,” sindirnya.

Beberapa ahli parlimen pembangkang bangkit menyokong Saifuddin, menambahkan lagi kekecohan. Johari kemudian terpaksa mengarahkan semua wakil rakyat tersebut kembali duduk.

80f5186f6f1b1d737498f9f509785092
Johari Abdul, Speaker Dewan Rakyat

“Ya Rasulullah, duduk! Jelutong (Rayer) saya dah kata tadi, Indera Mahkota (Saifuddin) sudah terima surat dan respon pada saya.

“Bagi saya masa untuk semak jawapan dia,” kata Johari, sebelum memberi laluan kepada Aminuddin Harun (PH–Port Dickson) menyambung perbahasan.



Source link