Pemuda Umno Terengganu berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan kesilapan Jalur Gemilang dalam sebuah poster yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata pihaknya memohon maaf atas perkara itu dan senada dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang menggesa polis menyiasat perkara itu dan tindakan tegas dikenakan.
“Saya ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menegur kami. Pemuda Umno Terengganu mengambil sikap untuk tidak berkompromi dengan kesilapan ini.
“Kita serah kepada pihak berwajib untuk buat siasatan,” kata Tengku Haphiz dalam video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Terdahulu, Pemuda Umno Terengganu didapati menyiarkan poster dengan imej Jalur Gemilang yang salah di laman Facebooknya.
Pemuda Umno Terengganu memuat naik poster tersebut bagi menyatakan kemarahan terhadap kesilapan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, selain menuntut pembelaan terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir – yang dikatakan menjadi mangsa buli.
Poster itu memaparkan Jalur Gemilang dan gambar hitam putih Zara. Bagaimanapun, Jalur Gemilang tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti yang sepatutnya.

Poster itu dipadamkan pada 12.55 tengah hari tadi dan digantikan dengan poster baru yang memaparkan bilangan jalur yang betul pada bendera negara.
Mengulas lanjut, Tengku Haphiz berkata pihak yang membuat poster itu terkesan dengan isu pemasangan Jalur Gemilang secara salah.
“Namun kekhilafannya ini tidak disengajakan.
“Apa-apa pun, saya tidak mahu membela dia walaupun dia memberi khidmat secara percuma kepada kami, dan kami pun memuat naikkannya ke laman kami.
“Salah tetap salah, dan saya mengambil tanggungjawab sebagai ketua Pemuda Umno Terengganu untuk memohon maaf,” katanya.
Dia juga menggesa pemimpin politik dan sayap pemuda parti politik untuk bersama Pemuda Umno dalam isu kesilapan Jalur Gemilang.
“Ini bukan soal kepentingan politik Umno, tetapi soal negara dan maruah Jalur Gemilang kita,” katanya lagi.