Malaysia Oversight

Belanda minta Israel jelaskan kematian wartawan Al Jazeera di Gaza

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 1 minute
Belanda minta Israel jelaskan kematian wartawan Al Jazeera di Gaza


Belanda berhasrat meminta Israel memberi penjelasan mengenai keadaan kematian wartawan Al Jazeera di Semenanjung Gaza, menurut seorang jurucakap Kementerian Luar Belanda pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Ahad, Al Jazeera melaporkan kematian empat kakitangannya, termasuk seorang wartawan terkenal, Anas Al-Sharif, selepas Israel menyerang sebuah khemah wartawan berhampiran sebuah hospital di Bandaraya Gaza.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah mengaku melancarkan serangan ke atas Al-Sharif, yang dituduh bekerja untuk kumpulan Palestin Hamas. Penyiar itu kemudian mengemas kini jumlah kakitangannya yang terbunuh dalam serangan Israel di Gaza kepada lima orang.

“Israel mesti sentiasa bertindak selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa… Belanda, seperti juga Jerman, meminta penjelasan mengenai perkara ini,” kata jurucakap Kementerian Luar itu seperti yang dipetik oleh penyiar NOS.

Belanda menuntut agar Israel mengemukakan bukti yang boleh menyokong dakwaan bahawa Al-Sharif bekerja untuk Hamas, lapor penyiar itu.

“Kewajiban untuk membuktikan dakwaan sedemikian terletak pada Israel,” kata jurucakap itu.

Pada mesyuarat menteri-menteri Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin, Menteri Luar Belanda Caspar Veldkamp turut menarik perhatian kepada peningkatan keganasan terhadap wartawan semasa konflik di Gaza, tambah jurucakap itu.

-Bernama



Source link