Malaysia Oversight

Polis belum terima laporan terhadap Pemuda Umno T’ganu

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 1 minute
Polis belum terima laporan terhadap Pemuda Umno T'ganu


Polis belum menerima laporan berhubung kesilapan Jalur Gemilang dalam poster yang dimuat naik di Facebook Pemuda Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

“Saya dah semak, tiada laporan yang kita terima di semua daerah (setakat ini),” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Pemuda Terengganu didapati menyiarkan poster dengan imej Jalur Gemilang yang salah di laman Facebooknya.

Ia berlaku di tengah kelantangan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh mengecam seorang pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik.

Pemuda Umno Terengganu memuat naik poster tersebut bagi menyatakan kemarahan terhadap kesilapan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, selain menuntut pembelaan terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir – yang dikatakan menjadi mangsa buli.

Poster itu memaparkan Jalur Gemilang dan gambar hitam putih Zara. Bagaimanapun, Jalur Gemilang tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti yang sepatutnya.

Kesilapan itu disedari oleh pengguna media sosial yang peka dan ramai mempersoalkan jika Akmal akan turut ‘menyerang’ Pemuda Umno Terengganu.

Poster itu dipadamkan pada 12.55 tengah hari tadi dan digantikan dengan poster baru yang memaparkan bilangan jalur yang betul pada bendera negara.

Akmal kemudiannya menggesa polis menyiasat perkara itu dan tindakan keras diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Saya tak nak hanya minta maaf, walaupun ini adalah Pemuda Umno Terengganu…saya minta polis siasat dan kenakan tindakan yang keras,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.



Source link