Malaysia Oversight

‘Mereka berkhidmat dengan ikhlas’ – MP PAS pertahan elaun guru Pasti

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 2 minute
‘Mereka berkhidmat dengan ikhlas’ - MP PAS pertahan elaun guru Pasti


PARLIMEN | Ahli Parlimen mempertahankan bayaran upah kepada guru Pusat Asuhan Tunas (Pasti) bawah kelolaan parti itu, dengan berkata ia adalah elaun sukarela dan bukannya bayaran gaji tetap.

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata Pasti telah memaklumkan kepada guru yang ingin bertugas secara sukarela berkenaan kekangan untuk membayar gaji yang tinggi.

“Kita bukan bagi gaji, kita bagi elaun sukarelawan…mereka (guru) datang nak berkhidmat dengan ikhlas.

“Sukarelawan guru ini bertugas bukan mengharapkan imbuhan. Mula-mula dia hadir datang bertugas di premis, mula-mula memohon nak berkhidmat di premis (dan kata) ‘kami nak berkhidmat dengan ikhlas’.

“Kita beritahu dia (guru) kita tak boleh bayar mahal sebab yuran (murid) kita rendah,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Afnan yang juga ketua Pemuda berkata demikian ketika menepis kenyataan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung bayaran terhadap guru Pasti.

Ketika berbahas di Dewan Rakyat semalam, Nik Nazmi berkata ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke Pasti kerana yuran yang rendah, namun hampir 10,000 guru di pusat itu menerima elaun hanya RM600 tanpa perlindungan sosial asas.

“Antara tarikan adalah selain mendakwa pendidikan , kos yang rendah.

“Namun banyak aduan tentang Pasti tidak mematuhi aspek silibus, penggajian guru. Aduan termasuk daripada guru-guru Pasti sendiri,” kata bekas menteri itu.

Justeru, dia berharap langkah pembetulan dapat diambil oleh Jawatankuasa Khas Pendidikan Prasekolah yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di bawah Majlis Sosial Negara.

Isu gaji guru Pasti bukan perkara baru dan pernah dibangkitkan sejak tahun lalu.

Pada Mac tahun lalu, pihak berkuasa dilaporkan memberi perhatian kepada rangkaian tadika dan sekolah berhubung pertikaian gaji yang didakwa melibatkan guru-gurunya.

Berdasarkan memo Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), semua cawangan pejabat itu telah ditugaskan untuk memeriksa Pasti, serta Sekolah Rendah Teras Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti).

Ia dikatakan bagi menentukan status pekerjaan guru dan kakitangan di institusi pendidikan di bawah PAS, atau lebih khusus sayap pemuda parti itu.

Institut-institut terbabit juga tidak didaftarkan secara sah sebagai sekolah, taman asuhan kanak-kanak, atau tadika.


Laporan oleh Haspaizi Zain, Qistina Nadia Dzulqarnain dan Hariz Mohd.



Source link