Polis perlu menjelaskan sama ada mereka telah mengambil tindakan terhadap individu yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di balai polis dalam dua kejadian berasingan sebelum ini, kata Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng.
Perkara ini dibangkitkan selepas gambar lama insiden itu kembali tular di media sosial – satu membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 2016, dan satu lagi di Balai Polis Simpang Lima, Selangor pada 2020.
“Adakah individu yang memasang Jalur Gemilang terbalik di IPD Seremban dan Balai Polis Simpang Lima pernah ditangkap dan didakwa?
“Jika tidak, mengapa kes rakyat biasa boleh ditangkap dengan gari, sedangkan kes ini senyap begitu sahaja?
“Adakah undang-undang mempunyai had masa untuk mendakwa kesalahan ini atau wujud pihak yang kebal daripada undang-undang?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seremban, Hatta Che Din menjelaskan bahawa insiden di IPD Seremban berlaku pada 2016 semasa sambutan Hari Polis ke-209.
“Penularan gambar bendera Malaysia terbalik di IPD Seremban telah tular semula pada 2019 untuk kali pertama dan pada kali ini telah terkesan penularan kali kedua.
“Orang ramai dinasihatkan tidak menularkan semula insiden yang telah berlaku ini bagi mengelakkan persepsi yang tidak baik dan boleh dimanipulasi serta boleh menimbulkan keraguan pada masyarakat,” katanya.
Mengenai gambar melibatkan Balai Polis Simpang Lima, Bernama pada September 2020 melaporkan bahawa Ketua Polis Daerah Kerian, Mazuki Mat berkata pihaknya telah membuka siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
Namun, tidak jelas apa perkembangan hasil siasatan itu.
Kesamarataan di sisi undang-undang
Sementara itu, Lim yang juga seorang peguam mengingatkan pihak berkuasa bahawa kesamarataan di sisi undang-undang bukan sekadar slogan, sebaliknya mencerminkan bagaimana undang-undang mesti dikuatkuasakan terhadap semua tanpa mengira latar belakang.
“Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara tegas dan sama rata terhadap semua pihak tanpa mengira identiti atau kedudukan.
“Jika undang-undang hanya keras terhadap rakyat biasa tetapi lembut terhadap pihak tertentu, maka ia bukan lagi keadilan, tetapi ketidakadilan yang terang-terangan,” kata ahli parlimen Kepong itu.
Kes kedai perkakasan
Pada 10 Ogos lalu, polis menahan pemilik kedai, Feng Jin Zhen, selepas seorang pengguna Facebook bernama Nazirul Hafiz memuat naik video berdurasi 20 saat yang menunjukkan Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik di luar premisnya di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Alwi Zainal Abidin, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Feng telah dibebaskan dengan jaminan polis, namun Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, semalam mengugut untuk “mengajar” lelaki itu tentang cara memasang bendera dengan betul sekiranya pendakwaan tidak dibuat dalam tempoh dua hari – sekali gus mencetuskan kritikan daripada MCA, DAP dan Lawyers for Liberty.