PETALING JAYA: “Ini yang dikatakan akhir zaman, mak lahirkan tuan.”
Demikian luahan ibu kepada aktres jelita, Anna Jobling, Ariz Arop yang kecewa selepas menerima perintah injunksi bahkan, menyifatkan anaknya sudah semakin lupa diri.
Menurut Ariz, dia tidak sangka dirinya dilayan seperti anjing kurap selepas bersusah payah menggadaikan harta bendanya demi kesenangan pelakon popular tersebut.
“Saya sudah pesan bila sudah terkenal jangan lupa diri. Tetapi bila dia sudah terkenal dia buat saya begini. Walaupun dia selalu bagi duit pada saya, dia ingat dia boleh layan saya macam ini?
“Saya sudah seperti anjing kurap. Saya bergolok gadai kereta, barang kemas segala sebab mahu hidup dengan dia di Kuala Lumpur. Bila fikir balik sayalah pemandu yang tidak bergaji bawa dia ke hulu ke hilir,” katanya menerusi hantaran video Instagram Story.
Dalam pada itu, Ariz turut meluahkan rasa kesal apabila anak perempuannya itu tergamak membalas jasanya sebagai seorang ibu sedemikian meskipun wanita tersebut tidak pernah mengharapkan sebarang balasan.
“Kita harap anak kita boleh hidup senang. Bolehlah tumpang senang seorang anak. Tetapi macam ini dia buat pada saya.
“Pada awalnya, kami hanya bergaduh biasa saja sebab banyak benda yang saya tidak puas hati terhadap dia. Dan rasa tidak puas hati dia terhadap saya.
“Tapi dia punya hina saya sehingga boleh panggil peguam dan keluar kereta seperti saya mahu bunuh dia,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ariz sempat menitipkan pesan kepada pelakon drama Setia Itu Mahal itu agar tidak terus lupa diri kerana kejayaan hidupnya terletak pada doa insan yang bergelar ibu.
“Terbang setinggi mana kau mahu terbang, tapi jangan lupa dalam setiap kejayaan itu ada pada doa seorang ibu,” ujarnya.
Sebelum ini, kemelut dua beranak itu menuai perhatian ramai selepas ibunya memuat naik perkongsian dirinya berada di sebuah balai polis selain memaklumkan dia menerima perintah injunksi yang difailkan oleh Anna.
Anna bagaimanapun sehingga kini terus mendiamkan diri bahkan tidak memuat naik sebarang perkongsian bagai menjelaskan mengenai isu tersebut di laman media sosial miliknya.-UTUSAN