Malaysia Oversight

Pengadu sindiket pekerja gesa siasatan jawatankuasa kehakiman Bangladesh

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 3 minute
Pengadu sindiket pekerja gesa siasatan jawatankuasa kehakiman Bangladesh


Pengadu utama dakwaan sindiket yang mengeksploitasi pekerja Bangladesh untuk bekerja di Malaysia, Altab Khan mendesak negara itu mengadakan siasatan semula.

Ini susulan laporan media negara itu bahawa pihak yang didakwa dalam sindiket itu, termasuk ahli politik, dibebaskan selepas pihak berkuasa Bangladesh membuat kesimpulan bahawa mereka tidak terlibat.

“Memandangkan suspek adalah menteri, ahli parlimen, setiausaha, pemilik aset beribu-ribu juta, dan kumpulan pemerdagangan manusia yang teratur, saya meminta Bangladesh menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Kehakiman menyiasat kes ini.

“Demi kepentingan 480,000 pekerja miskin yang ke luar negara melalui sindiket ini dan 90 peratus ahli perniagaan yang terjejas dan tidak dapat bekerja kerana jaringan sindiket ini, adalah perlu untuk mahkamah mengemukakan laporan siasatan melalui suruhanjaya siasatan peringkat tinggi,” kata Altab kepada Malaysiakini.

Katanya, dia telah memohon kepada mahkamah untuk memfailkan petisyen tidak percaya terhadap keputusan siasatan sebelum ini.

Altab, seorang ahli perniagaan, membuat laporan polis pada 3 Sept tahun lepas di balai polis Paltan, Bangladesh terhadap 103 individu yang didakwa menggelapkan RM8.36 bilion melalui sindiket terancang.

Antara nama besar dalam laporan itu adalah bekas menteri Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Ekspatriat Bangladesh, Imran Ahmed, bekas setiausaha kanan Ahmed Munirus Saleheen, bekas ahli parlimen Nizam Uddin Hazari, ahli politik dan Leftenan Bersara Jeneral Masud Uddin Chowdhury, Benjir Ahmed dan Kashmiri Kamal bersama anak perempuannya Nafisa Kamal, isteri dan anak perempuan bekas menteri kewangan AHM Mustafa Kamal.

505bdd130f465a9b18fdf3d626a6f4d9

Sekurang-kurangnya 100 pemilik agensi pengambilan pekerja asing Bangladesh (BRA) turut dinamakan dalam laporan itu.

Terdahulu, agensi berita Bangladesh The Business Standard, melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) negara itu mencapai kesimpulan ‘tidak bukti’ dalam laporan akhirnya berhubung dakwaan mengenai sindiket itu.

Pegawai CID Md Russel dari Unit Pemerdagangan Manusia, yang menyiasat kes itu, berkata dia menyerahkan laporan akhir kepada mahkamah pada 15 Julai lalu.

“Kami memfailkan laporan itu kerana tiada bukti dapat dibuktikan,” katanya, enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Altab berkata dia turut meminta mahkamah membenarkan siasatan semula setelah Suruhanjaya Anti Rasuah (ACC) Bangladesh masih menyiasat beberapa individu yang dikaitkan dalam sindiket itu terlibat dalam pengubahan wang haram.

Dalam petisyen itu dia memberitahu ACC telah memfailkan kes terhadap 36 orang termasuk 12 ahli sindiket berkenaan selepas mendapati bukti mereka memperoleh kekayaan secara haram dengan memeras wang daripada pekerja asing.

“Saya meminta tindakan undang-undang diambil terhadap pegawai CID yang terlibat dalam penyiasatan kerana membebaskan defendan secara tidak sah dan mengemukakan laporan palsu di bawah seksyen 218 Kanun Keseksaan Bangladesh, supaya tiada sesiapa membantu dalam perbuatan menyalahi undang-undang tersebut pada masa hadapan,” katanya.

Bulan lalu, Malaysiakini melaporkan Bangladesh bersetuju untuk menghentikan siasatannya terhadap dakwaan sindiket mengeksploitasi warganya yang ingin bekerja di Malaysia, atas arahan Malaysia.

Menurut seorang pegawai tempatan yang enggan dikenali, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat di Kuala Lumpur pada 17 Julai antara wakil kerajaan Bangladesh dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia (Kesuma).

“Dua pegawai – setiausaha khas dan pembantu khas kepada ketua penasihat kerajaan Bangladesh – melawat Malaysia dan mengadakan pertemuan dengan pegawai kementerian.

“Dalam mesyuarat itu, wakil Bangladesh bersetuju untuk menghentikan siasatan supaya Malaysia boleh menyambung semula pengambilan pekerja Bangladesh,” kata pegawai itu.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa mesyuarat itu diadakan selepas kerajaan Malaysia menghantar surat kepada Bangladesh, menggesa siasatan dihentikan atas alasan ia tidak berasas.

Surat itu, bertarikh 23 April 2025, dihantar oleh pegawai kanan Kesuma kepada rakan pegawai kanan Kementerian Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Ekspatriat Bangladesh.

Kesuma menafikan mengadakan perjumpaan rasmi dengan wakil Bangladesh. Namun, kementerian itu enggan mengulas surat kementerian itu kepada Bangladesh.



Source link