KANGAR: Kemasukan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd. Aziz ke dalam PKR tidak akan menjejaskan hubungan UMNO dan PKR di dalam Kerajaan Perpaduan.
Meskipun ia bakal menimbulkan polemik hubungan antara dua parti itu, namun secara realistik, keberadaan Tengku Zafrul di dalam UMNO sebelum ini juga tidak memberi nilai tambah kepada kemenangan dalam pilihan raya.
Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, potensi Tengku Zafrul lebih sesuai berada di dalam PKR berbanding UMNO.
Katanya, Tengku Zafrul bukan individu penting yang dilihat boleh membantu membina semula kekuatan UMNO dan penyertaan beliau di dalam PKR langsung tidak akan menjejaskan perancangan yang telah dilaksanakan UMNO dalam mendepani pilihan raya.
“Tengku Zafrul juga kalah bertanding dalam pilihan raya atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Tengku Zafrul bukan penentu kepada sokongan UMNO atau tidak. Saya lihat, UMNO juga tidak mempunyai masalah mencari orang yang berkapasiti tinggi seperti Tengku Zafrul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tengku Zafrul sebelum ini mengesahkan beliau diterima sebagai ahli PKR Ampang sejak dua minggu lalu.
Pada 30 Mei lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu memaklumkan telah menghantar surat peletakan
jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menyertai PKR.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, keputusan itu dibuat setelah meminta nasihat dan pandangan dari dalam dan luar parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tambah Muhammad Izmer, isu Tengku Zafrul menyertai PKR tidak akan mengganggu perancangan UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, apa yang pasti, UMNO tidak akan bergerak solo dalam menghadapi PRU16.
“Apa sahaja polemik yang timbul, UMNO dan PH akan tetap bekerjasama dalam menghadapi PRU16. Setakat ini, kerjasama UMNO dan PH masih utuh dan dua tiga isu yang membelenggu itu adalah perkara biasa,” katanya.-UTUSAN