Malaysia Oversight

Gambar bendera terbalik di IPD Seremban pada 2016

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 1 minute
Gambar bendera terbalik di IPD Seremban pada 2016


Polis Seremban menjelaskan bahawa imej tular yang menunjukkan bendera Malaysia dikibarkan terbalik di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seremban bukanlah kejadian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Mohamad Hatta Che Din berkata, imej itu yang tular semula di Facebook pagi semalam, asalnya diambil pada 2016 semasa sambutan Hari Polis ke-209.

“Penularan gambar bendera Malaysia terbalik di IPD Seremban telah tular semula pada 2019 untuk kali pertama dan pada kali ini telah terkesan penularan kali kedua.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menularkan semula insiden yang telah berlaku ini bagi mengelakkan persepsi yang tidak baik dan boleh dimanipulasi serta boleh menimbulkan keraguan pada masyarakat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Hatta turut menyifatkan tindakan menularkan semula gambar lama itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Kecaman orang ramai berhubung pemasangan bendera secara salah timbul susulan insiden terbaru di Pulau Pinang yang membawa kepada penahanan pemilik kedai , Feng Jin Zhen, yang direman semalaman dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Semalam, Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh menangguhkan rancangannya untuk berjumpa Feng dan mengajarnya tentang cara mempamerkan Jalur Gemilang. Pemuda juga menangguhkan rancangannya untuk mengadakan perhimpunan “Maruah Tanah Airku” berhubung isu itu selepas penahanan Feng.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang awal hari ini meyakinkan orang ramai agar tidak perlu berasa takut atau ragu-ragu untuk mempamerkan Jalur Gemilang walaupun berlaku insiden berkenaan baru-baru ini.

Dia sebaliknya menyeru orang ramai mengambil pengajaran daripada insiden itu tentang cara yang betul mengibarkan bendera Malaysia.



Source link