Malaysia Oversight

Kematian budak lelaki di Manir ada unsur penderaan

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 2 minute
Kematian budak lelaki di Manir ada unsur penderaan


Polis mengesahkan terdapat unsur penderaan dalam kes kematian seorang budak lelaki berusia setahun 11 bulan di Kampung Banggol, Manir pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairuddin berkata dari segi kecederaan terdapat kesan lebam di seluruh badan budak terbabit, manakala hasil laporan bedah siasat pula mendapati berlaku pendarahan di kepala.

Dia berkata setakat ini empat saksi telah diambil keterangan, termasuk dua suspek yang juga bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak berkenaan, selain doktor serta jururawat di sebuah hospital yang memberikan rawatan ke atas mangsa.

“Setakat ini polis dah ambil keterangan empat saksi. Insiden ini berlaku di dalam rumah… mereka berempat saja di dalam rumah, iaitu mangsa, suspek lelaki dan wanita serta abang mangsa yang berusia tiga tahun.

“Mungkin selepas ini kami akan ambil keterangan ibu kandung mangsa yang berada di Johor.

“Menurut siasatan, suspek lelaki dan wanita baru enam bulan berkahwin dan mereka juga tidak bercampur dengan jiran sekeliling,” katanya selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Pada majlis itu, bekas Ketua Jabatan Pengurusan IPK Kuala Lumpur SAC Suffian Sulaiman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu yang baru.

Mohd Khairi berkata polis juga sedang menunggu laporan perubatan mangsa untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum diserah kepada timbalan pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya.

Susulan kes berkenaan, pemeriksaan kesihatan juga dijalankan terhadap abang mangsa yang kini di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun didapati tiada unsur penderaan berlaku terhadapnya.

“Polis minta supaya laporan perubatan disiapkan seberapa segera kerana ia melibatkan kes kematian kanak-kanak yang mendapat perhatian ramai,” katanya.

Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia di sebuah hospital selepas empat hari dimasukkan ke wad kerana disyaki akibat didera.

Dua suspek – iaitu bapa kandung yang berusia 27 tahun dan ibu tiri mangsa berusia 30 tahun – direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bernama



Source link