Sebanyak 128 jeti haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas bakal dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas mendapat surat kebenaran daripada kerajaan negeri.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata tindakan tersebut bertujuan memperkukuh kawalan sempadan dan mengekang jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand.
“Jeti yang dirobohkan ini dijangka dapat menghapuskan sepenuhnya penggunaan laluan tidak sah di kawasan berkenaan serta menghalang kegiatan jenayah rentas sempadan.
“Kita anggarkan setiap jeti yang bakal dirobohkan memakan kos antara RM2,000 hingga RM5,000 dan ia akan dilaksanakan dengan kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk PBT,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sempadan di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, di Tumpat hari ini.
Beliau berkata tinjauan sempadan yang dijalankan setiap masa juga telah berjaya mengurangkan kadar kemasukan ke laluan tidak sah ini hingga 20 peratus.
“Bagi memperkukuh lagi kawalan, dua pos kawalan baharu di Jeram Perdah yang telah siap sepenuhnya akan dimasuki anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Pos tersebut akan dikenali sebagai JP1 dan JP2.
“Ketika ini enam pos kawalan lama masih digunakan manakala enam lagi dalam proses pembinaan dan beberapa pos lama telah dirobohkan,” katanya.
Mohd Yusoff berkata pihaknya turut memohon daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pembinaan lapan pos tambahan, iaitu masing-masing dua di sektor Rantau Panjang dan Jeram Perdah, manakala empat lagi di Pengkalan Kubor termasuk Pulau Tengkorak.
“Cadangan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi pemantauan sempadan tidak dapat dilaksanakan kerana keadaan Sungai Golok yang sempit dan penyeludup boleh menyeberang menggunakan perahu atau bot dalam hanya beberapa saat,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya sedang meneliti pelbagai cadangan untuk memperkukuh kawalan sempadan negara, termasuk syor pembinaan tembok di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan yang berisiko tinggi.
Beliau berkata aspek keselamatan sempadan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan memandangkan sering menjadi laluan penyeludupan termasuk dadah serta berpotensi mengundang ancaman keselamatan lain jika tidak dikawal dengan rapi.
– Bernama