PARLIMEN | Ahli Parlimen Bersatu Putrajaya, Radzi Jidin mendesak kerajaan mendedahkan butiran penuh — termasuk implikasi kewangan terhadap dana awam — bagi kesemua 104 projek kerjasama awam-swasta (PPP) yang telah dilaksanakan setakat ini.
Naib presiden Bersatu itu berkata sehingga akhir Jun tahun lalu, jumlah komitmen kewangan terkumpul melibatkan 104 projek PPP di bawah model pembiayaan bersama meningkat 7.8 peratus kepada RM93.5 bilion berbanding RM86.7 bilion pada 2023.
Tegasnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sejumlah RM61 bilion peruntukan daripada PPP dan salah satu kaedah yang digunakan melalui pembayaran oleh kerajaan kepada pemegang konsesi untuk tempoh yang dipersetujui.
Sehubungan itu, Radzi mahu kerajaan menyenaraikan semua 104 projek PPP, termasuk nama syarikat konsesi, jenis konsesi, tarikh perjanjian, tempoh konsesi, serta bayaran atau komitmen kewangan tahunan kerajaan bagi setiap projek.

Dia juga meminta maklumat sama untuk perjanjian konsesi yang ditandatangani dari Jun 2024 hingga kini.
“Berapakah jumlah komitmen kewangan terkumpul bagi projek PPP sehingga kini,” soalnya ketika membahaskan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Radzi turut menuntut kerajaan menjelaskan jumlah bayaran tahunan bagi semua projek PPP sedia ada antara 2022 hingga kini, serta sama ada bayaran itu dibuat melalui peruntukan pembangunan, peruntukan mengurus, atau gabungan kedua-duanya.
Dia juga mahu butiran projek di bawah RMK-13 yang bernilai RM61 bilion disenaraikan, termasuk nilai, tempoh konsesi, kaedah PPP dan anggaran peruntukan bagi 2026 hingga 2030, serta sama ada jumlah tersebut ditanggung sepenuhnya oleh sektor swasta atau memerlukan dana tambahan kerajaan.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), mempersoalkan kemasukan berbilion ringgit daripada entiti berkaitan kerajaan (GLC) dalam RMK-13, mendakwa ia memberi gambaran salah terhadap kemampuan fiskal kerajaan.
Ahmad Fadhli berkata jumlah itu — RM120 bilion daripada GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta RM61 bilion melalui PPP — tidak pernah dimasukkan dalam rancangan negara sebelum ini.
Ketua pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut), turut membangkitkan isu keupayaan fiskal kerajaan dan meminta Putrajaya menjelaskan bagaimana ia akan membiayai RM430 bilion untuk pembangunan di bawah RMK-13.
Dia menyoal jika kerajaan akan membiayainya melalui peningkatan pinjaman atau hutang baru, sedangkan kerajaan mendakwa mahu mengurangkan paras hutang.

Jika hutang hendak diturunkan, bagaimana mencukupkan dana untuk RMK-13, soal timbalan presiden Bersatu itu.
Hamzah juga memberi amaran rakyat mungkin terpaksa menanggung beban melalui cukai lebih tinggi atau pemotongan subsidi.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Dania Kamal Aryf, Alyaa Alhadjri.