Ketua Pemuda Umno, Akmal Salleh berkata, dia akan “mengajar” pemilik sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang cara memasang bendera dengan betul sekiranya tiada pendakwaan dikenakan terhadap individu itu dalam tempoh dua hari.
“Jika hari esok dan hari Rabu tak ada langsung pendakwaan ke atas individu ini, maka insyaAllah hari Khamis saya akan turun dan kita akan beri kelas untuk ajar apek ini cara bagaimana nak pasang bendera dengan betul,” katanya dalam satu video di Facebook.
Tidak dapat dipastikan apakah “demonstrasi” memasang bendera itu akan berlangsung serentak dengan perhimpunan yang mahu dianjurkan Pemuda Umno.
Adun Merlimau itu memberi tempoh dua hari kepada pihak berkuasa mengambil tindakan dan mengingatkan supaya isu itu tidak dipendam.
Dia juga menggesa pemilik perniagaan itu didakwa di bawah peruntukan undang-undang yang lebih serius supaya berdepan hukuman lebih berat.

Terdahulu hari ini, Akmal mengumumkan “kelas” itu ditangguh selepas Ketua Polis Pulau Pinang, Alwi Zainal Abidin memaklumkan pemilik premis berkenaan telah ditahan.
Alwi juga memaklumkan pihak polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwa esok dengan cadangan pertuduhan.
Dia berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. ttps://www.malaysiakini.com/news/751788
Semalam, Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek mengkritik Akmal kerana melakukan “buli, penguatkuasaan sendiri dan seruan terbuka kepada mob action”.

Dia mengajak Akmal berbahas mengenai isu tersebut, dan bukannya “mengganggu, menghina dan menakut-nakutkan rakyat Malaysia”.
Zaid turut berkata rancangan Akmal untuk membuat lawatan bersama “rakan-rakannya” ke premis itu tidak boleh diterima, berbahaya dan bersifat memecahbelahkan kaum.
Insiden terbaru kesilapan memasang bendera itu tular di media sosial dua hari lalu selepas pemilik akaun Facebook Nazirul Hafiz memuat naik video selama 20 saat, memaparkan seorang lelaki memegang bendera secara terbalik pada sebatang tiang, manakala seorang lagi lelaki merakamkan kejadian tersebut.
Video itu kemudian dikongsi oleh Akmal yang mengecam individu berkenaan sebagai “pengkhianat” negara dan menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka.
Susulan video tular itu, pemilik kedai berkenaan menjelaskan dia sebenarnya sedang mengukur panjang sebatang tiang besi sambil menggantung Jalur Gemilang, dan tidak menyedari bendera itu dipasang secara terbalik.