Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa pihak polis tidak mempunyai kewajipan berjaga-jaga (duty of care) terhadap M Indira Gandhi dalam mencari bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, yang juga seorang mualaf, serta anak perempuan mereka yang dilarikan, Prasana Diksa.
Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb, memberitahu panel hakim yang diketuai oleh Mohamed Zaini Mazlan bahawa tanggungjawab pihak polis hanya terpakai kepada mereka yang berada dalam tahanan.
Kewajipan berjaga-jaga merujuk kepada obligasi undang-undang atau moral untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memudaratkan pihak lain.
“Kami berhujah bahawa responden (Ketua Polis Negara dan polis) hanya mempunyai kewajipan berjaga-jaga untuk mematuhi perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan bagi mengesan Pathmanathan (nama Muhammad Riduan sebelum memeluk Islam) dan anak perempuannya.
“Sekalipun mahkamah berpandangan wujud kewajipan berjaga-jaga, kami tidak bersetuju kerana sehingga kini kami tidak mengetahui keberadaan Pathmanathan memandangkan siasatan untuk mengesannya masih berjalan,” katanya.
Dalam hujahan bertulisnya, dia menyatakan pihak berkuasa telah menggunakan segala usaha dan tindakan yang perlu untuk mengesan Pathmanathan, termasuk melaksanakan waran komital yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2016 selepas dia gagal memulangkan Prasana kepada ibunya.

Namun, peguam Indira, Rajesh Nagarajan, berhujah bahawa pihak berkuasa, khususnya polis, mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap semua rakyat Malaysia.
Dia berkata polis gagal melaksanakan tugas untuk mengesan Pathmanathan, terutama apabila mereka menggunakan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) yang kini telah dibubarkan dalam siasatan tersebut.
“Tidak masuk akal pihak berkuasa menggunakan STAFOC untuk mengesan Pathmanathan sedangkan dia bukan terlibat dalam jenayah terancang, atau melaksanakan Ops Noda yang memerangi kegiatan maksiat.
“Polis juga gagal mengemukakan bukti di mahkamah, termasuk diari siasatan, untuk membuktikan bahawa siasatan mengesan Pathmanathan masih berjalan.”
Dia turut berhujah bahawa pihak berkuasa sebenarnya mengetahui keberadaan Pathmanathan, terutama apabila dipercayai dia telah membayar saman trafik pada 2020.
Rajesh juga menyatakan bahawa hakim mahkamah tinggi terkhilaf dalam menolak saman Indira apabila beranggapan bahawa tort nonfeasance memerlukan unsur niat jahat dan mala fide untuk dibuktikan.
“Ini jelas salah aplikasi undang-undang oleh hakim berkenaan, dan wajar untuk mahkamah ini campur tangan,” katanya kepada panel yang turut dianggotai Hakim Faizah Kamaludin dan Mohd Radzi Abdul Hamid.
Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan perintah komital pada 30 Mei 2014 terhadap Pathmanathan selepas dia gagal memulangkan Prasana kepada ibunya, manakala pada 12 September tahun sama, mahkamah mengeluarkan perintah mandamus terhadap defendan pertama untuk memaksa pelaksanaan perintah tersebut.
Mahkamah Persekutuan kemudian mengesahkan perintah mandamus itu pada 5 Mei 2015.
Lima tahun kemudian, pada 28 Oktober 2020, Indira memfailkan saman RM100 juta dengan menamakan bekas Ketua Polis Negara, Hamid Bador, polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan, selepas tiada sebarang perkembangan mengenai keberadaan anaknya.
Indira mendakwa Hamid, ketika menjawat jawatan KPN, serta pihak polis telah melakukan tort nonfeasance dengan sengaja mengabaikan tugas mengesan bekas suami dan anaknya.
Dalam pernyataan tuntutannya, dia menyatakan bahawa penculikan anaknya telah menyebabkan tekanan emosi akibat kebimbangan berterusan terhadap keselamatan dan kebajikan remaja berusia 17 tahun itu, sambil menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk (aggravated damages) berjumlah RM100 juta terhadap semua defendan.
Namun, pada 28 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman itu selepas mendapati Hamid dan pihak polis telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam melaksanakan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan.