Malaysia Oversight

Bukit Aman ambil alih siasatan, pasukan petugas khas dihantar ke Sabah

By MkiniBM in August 11, 2025 – Reading time 1 minute
Bukit Aman ambil alih siasatan, pasukan petugas khas dihantar ke Sabah


Sepasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota telah dihantar ke Sabah untuk mengambil alih siasatan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.

Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penghantaran pasukan itu adalah sebahagian daripada komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan dengan telus, profesional dan menyeluruh.

“PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa. Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelak daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan bahawa mayat Zara Qairina, 13, perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

36cae4d66f2565aaf643de16c12be6fd

AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Berikutan itu, pada Sabtu lepas, jenazah remaja tersebut digali semula dari Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, serta dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi tadi di tanah perkuburan sama.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.

– Bernama



Source link