Polis menahan seorang lelaki berhubung insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di Pulau Pinang.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin memaklumkan, kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya esok (11 Ogos) bersama cadangan pertuduhan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan menerima 16 laporan polis di seluruh negara berhubung kejadian bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik, membabitkan 12 laporan di Pulau Pinang, manakala empat lagi laporan polis dari luar kontinjen Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Kejadian terbaru itu tular di media sosial semalam selepas pemilik akaun Facebook Nazirul Hafiz memuat naik video berdurasi 20 saat yang menunjukkan seorang lelaki memasang bendera secara terbalik pada sebatang tiang, manakala seorang lagi merakamnya.

Video tersebut kemudian dikongsi Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang mengecam individu berkenaan dengan menyifatkan mereka sebagai “pengkhianat” negara serta menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
Akmal turut berkata dia mengarahkan Pemuda Umno di Pulau Pinang dan seluruh negara membuat laporan polis berhubung insiden terbaru itu.
Menurut laporan media, individu yang membawa bendera dalam video berkenaan menjelaskan dia ketika itu sedang mengukur panjang tiang besi sambil menggantung Jalur Gemilang, namun tidak menyedari bendera tersebut dipasang terbalik.
Pemilik kedai perkakasan itu berkata, dia kemudian menyedari kesilapan itu dan segera membetulkannya.
Lelaki itu turut menjelaskan tidak mengetahui insiden itu dirakam dan dimuat naik ke Facebook, serta kesal kerana video berkenaan hanya memaparkan bahagian ketika bendera itu dipasang terbalik tanpa menunjukkan saat ia dibetulkan.