Usahawan kelahiran Malaysia, Pua Khein Seng, yakin usaha terbarunya, MaiStorage — singkatan bagi Malaysia AI Storage — akan merangkul kejayaan.
Ditubuhkan di Puchong tahun lalu, ini adalah percubaan keduanya membina asas perniagaan di Malaysia selepas gagal pada 2012.
Pengasas Phison Electronics Corporation yang berpangkalan di Taiwan itu berkata, dia kembali untuk mencuba sekali lagi kerana percaya Malaysia kini memiliki kestabilan politik yang lebih baik dan sistem sokongan yang lebih kukuh.
“Saya percaya persekitaran politik Malaysia hari ini jauh lebih stabil berbanding beberapa tahun lalu.
“Sebagai pelabur, jika politik tidak stabil, saya rasa saya tidak mampu mengekalkan pelaburan dan pembangunan,” kata pencipta pemacu kilat USB cip tunggal pertama di dunia itu dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.
Pada 2012, Pua menubuhkan Phisontech Electronics (Malaysia) Sdn Bhd, namun syarikat itu dapat menjana keuntungan dan ditutup pada 2020.
Dia mengakui Phison membuat beberapa kesilapan yang menyumbang kepada kegagalannya, termasuk menganggap cawangannya di Malaysia tiada peranan strategik.
Syarikat itu juga berdepan masalah lain apabila jurutera mereka bekerja dengan pesaing di Singapura yang mampu menawarkan gaji lebih tinggi kerana kadar tukaran mata wang republik itu yang lebih kukuh.
“… selepas kami melatih mereka selama dua tahun, mereka jadi mahir, kemudian berhijrah ke Singapura kerana gaji di sana lebih tinggi.
“Kemudian saya tanya diri sendiri, mengapa saya buat begitu? Saya rasa tiada nilai melatih pelajar hanya untuk mereka pergi ke syarikat dan negara lain… Jadi, saya putuskan untuk tutup operasi,” jelasnya.
Sokongan perdana menteri
Menurut Pua, antara faktor yang meyakinkannya untuk menubuhkan MaiStorage ialah komitmen yang diberikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menyokong industri reka bentuk litar bersepadu (IC).
Dia menambah, kerajaan hari ini juga mempunyai visi teknologi yang lebih jelas berbanding 10 tahun lalu, ketika tumpuan lebih terarah kepada industri pembuatan.
Pua berkata, untuk memastikan kejayaan MaiStorage, syarikat itu memerlukan pasaran tempatan bagi reka bentuk IC, dan perkara itu dipersetujui untuk diberi perhatian oleh Anwar.
“Dan beliau beri komitmen kerana saya katakan, saya boleh melatih jurutera, tetapi produk tempatan mesti ada.
“Kerajaan membelanjakan banyak wang untuk mengimport semua dari Korea, Taiwan, China, dan AS. Mengapa tidak gunakan sedikit bajet untuk menyokong industri tempatan? Perdana menteri kata ‘munasabah’.
“Kemudian, selepas pertemuan itu, saya terus putuskan untuk buka pejabat. Pejabat dibuka pada 1 Julai tahun lalu selepas saya berbincang dengan perdana menteri,” katanya.
Kestabilan politik
Usahawan itu berkata, dalam pertemuan yang sama dia turut menekankan kepada perdana menteri tentang pentingnya memastikan kestabilan politik berterusan.
Pua yakin, dengan pengalaman Phison dalam industri, MaiStorage mempunyai peluang yang sangat cerah untuk berjaya.
“Perdana menteri tanya, risiko apa yang saya bimbang boleh menyebabkan syarikat saya gagal lagi? Jawapan saya mudah: ‘kestabilan politik’.
“Jika saya gagal lagi kali ini, bukan kerana saya. Kali ini saya sudah lakukan yang terbaik. Saya sudah pindahkan teknologi, saya sedang melatih tenaga kerja, dan mereka juga berprestasi baik. Kami boleh buktikannya.
“Jadi, jika kami gagal lagi, ia akan berpunca daripada politik. Kita perlukan kestabilan politik. Namun, jika perniagaan saya gagal lagi dalam dua atau tiga tahun akan datang, saya terpaksa berundur,” katanya.
Dengan sokongan kerajaan, Pua berharap syarikatnya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2028. Dia berkata, itulah satu-satunya cara untuk memastikan MaiStorage kekal menguntungkan dan berdaya tahan.






